Carian
February 15, 2022

AMK Selangor Mengecam Perdana Menteri Pertahan Menteri Langgar SOP

Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mempertahankan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 jelas mencerminkan kekusutan akauntabiliti dan amalan dua darjat kerajaan Barisan Nasional.

Alasan yang diguna pakai oleh Perdana Menteri bahawa pelanggaran SOP Covid-19 bukan satu jenayah membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19, khususnya varian Omicron yang telah menyumbang kepada peningkatan lebih 20,000 kes harian.

Ini bukanlah berkenaan isu pelanggaran SOP adalah satu jenayah atau tidak, namun dalam situasi jangkitan wabak Covid-19 mula naik secara mendadak, pemimpin kerajaan sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk mematuhi peraturan bagi mengekang penularan wabak.

Ini bukanlah pertama kali pemimpin kerajaan melanggar SOP. Jika kompaun terus dikenakan kepada kaum kayangan, tidak ada masalah untuk mereka melanggar undang-undang walaupun seribu kali kerana mereka mampu membayar denda. Namun jika rakyat biasa melanggar SOP, ada yang telah dijatuhi hukuman penjara kerana tidak mampu.

Seseorang pemimpin yang melanggar SOP Covid-19 perlu diberi hukuman lebih berat daripada rakyat biasa. Apatah lagi jika melibatkan pemimpin yang bertanggungjawab menguatkuasakan SOP Covid-19.

Tambahan lagi, tindakan Ismail Sabri yang mempertahankan Hishamuddin memperlihatkan bahawa undang-undang yang dirangka demi menjamin keselamatan rakyat begitu mudah 'dibakul sampahkan' oleh golongan ini.

Maka, tidak hairanlah kerajaan Barisan Nasional dengan sewenang-wenangnya meletakkan rakyat dalam risiko kesihatan dengan mengadakan pilihan raya untuk merebut kuasa.

Oleh itu, saya menggesa agar Perdana Menteri tidak memandang ringan isu pelanggaran SOP Covid-19, terutamanya yang melibatkan pemimpin kerajaan dan parti politik. Rakyat sudah muak dengan sikap pemimpin kerajaan dan ahli politik yang kerap membelakangi peraturan dan undang-undang dan sebaliknya menuntut sebuah kerajaan yang berakauntabiliti dan peka dengan nasib rakyat.

Sekian.

YB CHUA WEI KIAT
ADUN Rawang
Ketua AMK Selangor

Related Posts
crossmenuchevron-up