Carian
September 24, 2022

AMK Selangor Menggesa Jabatan Peguam Negara Mengambil Tindakan Segera Dengan Meneliti Kes Zahid

1. Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor mengambil pendirian dan menyeru rakyat Malaysia untuk menghormati keputusan mahkamah berkaitan dengan 40 pertuduhan rasuah berkenaan sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dihadapkan ke atas Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Bin Hamidi.

2. Pada hari ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui Yang Arif Dato’ Haji Mohd Yazid Bin Haji Mustafa telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie sekaligus melepaskan dan membebaskan Presiden Umno tersebut. Mahkamah juga memutuskan bahawa tiga saksi dalam kes tersebut adalah tidak kredibel atau tidak boleh dipercayai.

3. Walau bagaimanapun, AMK Selangor menggesa Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan segera dengan meneliti alasan penghakiman serta memfailkan rayuan ke atas keputusan tersebut dengan kadar segera memandangkan kes ini adalah melibatkan kepentingan awam dan rakyat.

4. Akhir sekali, AMK Selangor akan terus komited dalam usaha untuk memerangi rasuah, golongan kleptokrat serta segala bentuk penyelewengan demi kemaslahatan tanah air yang tercinta.

Sekian, terima kasih.
Izuan Kasim
Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Negeri Selangor.

Related Posts
crossmenuchevron-up