Carian
August 30, 2021

Antilompat Parti, Dana Politik, Undi 18 Antara Reformasi Dibawa Oleh PH

Ada pelbagai isu yang telah dibincangkan mengenai apa yang harus dimasukkan ke dalam perjanjian reformasi dan kestabilan dengan kerajaan. Selain perihal kebebasan Parlimen, ada beberapa hal yang ingin saya tekankan.

Antaranya keperluan untuk mengembalikan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap fungsi demokrasi negara setelah krisis politik yang bermula dari Februari 2020 hingga ke hari ini. Isu lompat parti harus segera ditangani.

Sistem pilihan raya kita tidak membezakan undi di antara calon atau parti politik.

Disebabkan hal ni saya merasakan Ahli Parlimen yang ingin melompat parti tidak dibenarkan melakukannya kecuali meletakkan jawatan dan kembali bertanding di kerusi mereka di bawah parti baharu atau bebas. Pengundi kemudian diberi pilihan untuk mengekalkan calon yang telah lompat ataupun tidak.

Ini berlaku ketika Shahrir Samad, semasa krisis UMNO pada tahun 1988 melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru, dan memenangi kerusi itu secara bebas, yang pada dasarnya menandakan bahawa kawasannya menyetujui pengunduran dirinya. (Shahrir bergabung semula dengan UMNO setahun kemudian).

Ketika ini Perlembagaan Persekutuan dan negeri telah dipinda dengan melarang wakil rakyat yang meletakkan jawatan untuk bertanding di dalam pilihan raya selama lima tahun. Hal ini perlu diperhalusi.

Kemudian, isu dana politik. BN memang berusaha melakukan sesuatu semasa era Najib, tetapi tidak mempunyai wibawa politik untuk melakukannya.

PH memulakan beberapa kajian tentangnya, terutama dari segi ketelusan dan batasan dalam pembiayaan, tetapi Dr Mahathir menolak idea dana awam untuk parti-parti politik.

Ini adalah sesuatu yang dapat ditangani oleh PM semasa dengan bekerjasama dengan semua parti politik, kerana masalah dana politik adalah isu yang sudah lama memerlukan reformasi.

Seterusnya, pelaksanaan Undi 18 perlu dilaksanakan secepat mungkin. Semua parti politik telah menyokong pindaan untuk menurunkan usia mengundi dan pendaftaran pemilih automatik semasa era PH.

Ketika saya mengemukakan hal ini kepada kerajaan Perikatan Nasional, dinyatakan bahawa Undi18 dapat dilaksanakan pada pertengahan 2021. Malangnya, belum ada apa-apa hasil yang kelihatan.

Walaupun dapat difahami bahawa pendaftaran automatik memerlukan masa, menurunkan pendaftaran pemilih menjadi 18 tahun saya percaya dapat dilakukan dengan segera.

Related Posts
crossmenuchevron-up