Carian
September 11, 2021

Anwar Mengalukan Kenyataan PM Berkaitan Penambahbaikan Parlimen Dan Pentadbiran

Saya mengalukan kenyataan Perdana Menteri semalam terkait ikhtiar Kerajaan melaksana sejumlah penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran Kerajaan.Ini adalah satu permulaan yang baik susulan daripada pertemuan saya dan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri pada 25 Ogos lalu.

Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

Justeru itu, antara lain Pakatan Harapan turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.

Keutamaan Pakatan Harapan semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman.

Dalam isu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Pakatan Harapan melihat bahawa masih wujud keperluan ianya diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen kali ini berdasarkan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu, bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola Kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.
Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif. Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up