Carian
September 9, 2021

Belum 100 Hari Tetapi Rina Telah Buktikan Beliau Gagal

1.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Datuk Seri Rina Harun sebelum ini di bawah potfolionya dalam kerajaan PN telah berjanji untuk membentangkan Rang Undang – Undang (RUU) Gangguan Seksual di Parlimen namun belum pun beberapa minggu di dalam jawatan yang sama di bawah pentadbiran kerajaan PN2.0 beliau telah pun membuat kenyataan yang menjurus kepada kegagalan beliau menunaikan janji tersebut.

2.Ucapan Rina di Sungai Pelek selepas penyampaian sumbangan dan Bakul Prihatin Negara pada 8 Sep di mana beliau menyatakan tidak perlu tunggu RUU Gangguan Seksual dibentangkan adalah satu bukti bahawa beliau tidak layak menjadi anggota pentadbiran dalam badan eksekutif yang tertinggi negara kerana gagal menggunakan kedudukan tersebut untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

3.Rina ternyata gagal dalam memahami kepentingan RUU Gangguan Seksual dan mengapa ia di perlukan untuk mengukuhkan undang-undang yang sedia ada yang ketika ini di dapati tidak mencukupi untuk menangani kes gangguan seksual dengan berkesan.

4.Rina seharusnya lebih memahami bahawa laporan polis merupakan prosedur biasa yang dipraktiskan oleh orang awam dan sepatutnya Rina menggunakan kesempatan tersebut untuk menegaskan bahawa pemandiri perlu dilindungi melalui intervensi kaunseling trauma serta proses keadilan yang lebih efektif. Sekiranya Rina komited beliau seharusnya mengumumkan pada ketika itu juga bila RUU Gangguan Seksual akan di bentangkan di Parlimen dan bukan sekadar menyatakan bahawa pemandiri boleh buat laporan polis.

5.Kerajaan Pakatan Harapan yang sebelum ini telah bertungkus – lumus membentangkan "road map" RUU Gangguan Seksual termasuk cadangan mewujudkan mekanisme perlindungan dan tribunal keadilan kepada pemandiri dengan ini, terus mendesak agar Rina lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana kenyataan beliau cukup tidak bertanggungjawab, serta membuktikan tiada kesungguhan membela nasib pemandiri gangguan seksual.

6.Selain daripada itu, kerajaan juga digesa mengemukakan pelan menangani keganasan berasaskan gender termasuk memberikan tumpuan kepada kes gangguan seksual dalam tempoh Pandemik Covid-19 dengan mengambil kira situasi semasa di mana kes gangguan seksual secara dalam talian dilaporkan terus meningkat dan memerlukan tindakan segera.

Fuziah Salleh
Ketua Wanita KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up