Carian
July 18, 2021

Buka Ruang Perbahasan Parlimen, Jangan Derhaka Titah Pandangan Yang di-Pertuan Agong

Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi amaran keras kepada kerajaan Perikatan Nasional agar hentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 telah menzahirkan titah pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.

Seri Paduka Baginda telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021.

Titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini.

Demi menjunjung titah pandangan Tuanku ini, Ketua Pembangkang telah pada 12 Julai menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa Tuanku.

Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis COVID-19 dan kemelesetan ekonomi.

Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen.

Oleh itu, Pakatan Harapan mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up