
Saya ingin merujuk kepada penghakiman berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam. Ingin ditegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa. Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim.
Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana. Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Dato’ Sri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini.
ANWAR IBRAHIM
23 Disember 2025