Carian
March 31, 2021

Darurat Bukan Alasan Elak Pertanggungjawaban

Peringatan oleh pemenang Hadiah Nobel Ekonomi pertama, Friedrich Augustus von Hayek bahawa darurat atau kecemasan selalu menjadi alasan mula untuk menghakis perlindungan terhadap kebebasan individu.

Kenyataan in kelihatan semakin tepat apabila pentadbiran PN pada hari ini terus memprorog Parlimen tanpa alasan kukuh ketika pelbagai sektor ekonomi telah dibuka hampir sepenuhnya.

Pengumuman pengenalan Ordinan baru yang membolehkan kerajaan melakukan perbelanjaan tambahan tanpa pertanggungjawaban kepada Parlimen seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan mendedahkan Eksekutif kepada kepincangan yang lebih besar. Ini terutama ketika data-data terkini mengenai kedudukan hutang, hasil dan pelaburan masuk dalam situasi pandemik Covid-19 tidak begitu jelas.

Darurat tidak harus menjadi alasan untuk mengelak pertanggungjawaban Eksekutif kepada badan Legislatif dan rakyat secara umumnya. Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab boleh dan mesti proaktif untuk menyalurkan maklumat serta menyediakan ruang dan cara supaya Legislatif boleh berfungsi seperti biasa.

Perdana Menteri selepas bertemu dengan beberapa Menteri daripada UMNO menyatakan bahawa Kabinet akan berfungsi seperti biasa. Beliau harus sedar bahawa tanggungjawab Kabinet ialah kepada Parlimen, sebagaimana ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

#TamatDarurat #ParlimenMestiBersidang

NOOR AMIN BIN AHMAD
Ahli Parlimen Kangar

Related Posts
crossmenuchevron-up