Carian
July 5, 2021

Desak Agar Johor Memasuki Fasa 2 PPN, PH Kemuka 3 Cadangan

1. Pakatan Harapan Johor menjunjung kasih titah Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan amat bersetuju dengan pandangan bahawa formula 'lockdown' semata-mata tidak akan membuahkan hasil yang positif untuk rakyat. Tempoh 'lockdown' yang terlalu lama akan mendorong kepada krisis kesihatan mental yang lebih parah lagi termasuklah risiko peningkatan kemalangan nyawa (bunuh diri).

2. Bahkan, tempoh 'lockdown' yang terlalu lama juga telah memberi kesan terhadap ekonomi seterusnya memerangkap rakyat serta negara dalam krisis ekonomi untuk tempoh unjuran masa yang lebih panjang. Hal ini amat membimbangkan.

3. PH Johor mendesak Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan supaya Johor memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar lebih banyak sektor ekonomi boleh dibuka untuk beroperasi. Berdasarkan laporan sehingga 3 Julai lalu, Johor mencatatkan nilai R pada kadar 0.92 - negeri keempat paling rendah di Malaysia.

4. Pada masa yang sama, PH Johor mencadangkan perkara berikut sebagai langkah kawalan dan jalan keluar kepada perlaksanaan 'lockdown' yang telah memberi kesan risiko negatif keatas rakyat:

4.1. Penggunaan 'Rapid Antigen Test' perlu dilipat gandakan supaya kita tidak hanya bergantung kepada ujian PCR semata-mata. Hal ini boleh membantu untuk menangani penularan wabak covid-19 secara bersasar dan lebih berkesan kepada bangsa Johor.

4.2. Selain itu, penggunaan 'Self Test Kit' juga boleh segera diperkenalkan. Di United Kingdom misalnya, 'Self Test Kit' sudah pun digunakan secara meluas dimana rakyat mereka dibekalkan secara percuma dan boleh menjalankan ujian persendirian di rumah. Keputusan yang diperolehi boleh dimuatnaik kedalam sistem atas talian untuk disalurkan kepada data rasmi kerajaan bagi tindakan susulan oleh agensi yang berkaitan.

Di Malaysia, penggunaan 'Self Test Kit' ini masih tertakluk dengan pelbagai peraturan yang menghalang rakyat daripada menggunakannya. PH Johor berpandangan, hal ini tidak membantu dan amat merugikan kita dalam usaha melawan penularan Covid-19.

4.3. PH Johor turut menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk segera melaksanakan inisiatif tambahan sepertimana yang telah diumumkan oleh YAB Dato' Menteri Besar menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 dimana sejumlah RM40 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pembelian vaksin dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor (KPJ). Hal ini amat penting untuk Johor mencapai Imuniti Kelompok pada kadar yang segera.

5. Kesemua cadangan diatas adalah amat penting untuk keselamatan rakyat. Bahkan, Johor amat mengharapkan kesegeraan dalam perlaksanaan sebarang bentuk usaha melawan covid-19 di negeri ini lebih-lebih lagi Johor merupakan 'negeri barisan hadapan' (frontline state) yang menyumbang kepada ekonomi negara kita.
YB DZULKEFLY BIN AHMAD
Timbalan Pengerusi AMANAH Johor

YB JIMMY PUAH WEE TSE
Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor

YB TEO NIE CHING
Timbalan Pengerusi DAP Johor

Related Posts
crossmenuchevron-up