Carian
May 21, 2021

Desakan Segera Kepada Kerajaan AS Untuk Memastikan Pematuhan Kepada Gencatan Senjata Israel - Hamas

1.Pemuda Pakatan Harapan menyambut baik gencatan senjata antara Israel dan Hamas. Kami juga mengambil maklum usaha yang diambil Presiden Amerika Syarikat, Mr. Joe Biden bersama dengan Kerajaan Mesir dalam mencapai gencatan senjata yang sangat penting ini walaupun kami percaya bahawa ia sepatutnya berlaku jauh lebih awal selepas lebih daripada 200 orang Palestin termasuk wanita dan juga kanak-kanak terkorban dan ribuan yang lain tercedera.

2.Bagaimanapun, kami kini menyeru kerajaan Amerika Syarikat untuk memantau dan memastikan Israel mematuhi gencatan senjata terutamanya apabila melihat Israel mempunyai kecenderungan melanggar perjanjian gencatan senjata seperti yang berlaku pada tahun 2014.

3.Kami juga menyeru agar Kerajaan Amerika Syarikat menyemak semula hubungan diplomatiknya dengan negara penjenayah Israel dan menghentikan sebarang penjualan senjata api dan dana ketenteraan kepada Israel. Rekod menunjukkan, Kerajaan Amerika Syarikat memberi dana sebanyak US$3.8 bilion setiap tahun kepada negara penjenayah Israel. Malah kami berdiri teguh bersama Resolusi yang dicadangkan di dalam Dewan Senat Amerika Syarikat oleh Senator Bernie Sanders bahawa Kerajaan Amerika Syarikat menghentikan rancangan menjual senjata sebanyak US$735 Juta kepada Israel.

4.Kami percaya bahawa ia tidak pernah lebih jelas bahawa Israel telah melakukan pelbagai kesalahan hak asasi manusia dan jenayah perang selama ini. Pembunuhan Warga Palestin yang tidak bersalah termasuk orang awam, wanita dan kanak-kanak dan pengeboman bangunan media di Gaza merupakan secara terang tindakan jenayah perang dan melampaui batas kemanusiaan oleh Kerajaan Israel yang diketuai oleh Angkatan Tentera Israel (IDF).

5.Kami mendesak agar Kerajaan Amerika Syarikat terutamanya Tuan Presiden Joe Biden membuktikan kepada rakyat Amerika dan juga kepada dunia ini, bahawa kepimpinannya sememangnya percaya dan mempertahankan hak asasi manusia dan bahawa semua nyawa itu penting tidak kira #BlackLivesMatter atau #PalestineLivesMatter.

Related Posts
crossmenuchevron-up