Carian
November 4, 2021

Duta Khas Bertaraf Menteri Juga Dapat Vellfire?

Sebelum ini kerajaan cuba memperlihatkan pada pembantangan #Bajet2022 sebagai bajet mesra rakyat dengan semangat 'Keluarga Malaysia'. Antara yang terbaru seperti bantuan ewallet RM150 untuk golongan belia serta bantuan tunai Rm700 secara one-off kepada penjawat awam.

Namun ternyata bantuan-bantuan kecil yang diumum hanya untuk mengaburi mata terhadap kemewahan yang diterima oleh para Menteri.

Kami amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa kerajaan telah menukar kenderaan rasmi Menteri iaitu daripada Proton Perdana 2.4 sebelum ini kepada Toyota Vellfire 2.5 sejak April 2021.

Kenderaan ini menelan kos pajakan sebanyak Rm5,759.35 sebulan melibatkan kos sewa bulanan sebanyak Rm4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan sebanyak Rm907.74 sehingga September 2021 kenderaan ini telah membayar kos pajakan sebanyak sebanyak Rm1.42 juta kepada syarikat konsesi dalam tempoh hanya enam (6) bulan.

Namun jika dihitung kos ini melibatkan 41 buah kereta Vellfire sedangkan umum mengetahui kabinet kerajaan Malaysia hanya mempunyai 32 orang Menteri.

Jadi siapa yang menggunakan baki sembilan (9) buah Vellfire? Adakah Duta Khas Bertaraf Menteri juga menikmati kemudahan sama?

Ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kewangan yang mana ramai kehilangan pekerjaan, perniagaan merosot dan gulung tikar, graduan menganggur dan pelbagai lagi masalah akibat pandemik Covid-19 sehingga ada yang membunuh diri, kerajaan tanpa rasa malu dan bersalah menaik taraf kenderaan rasmi Menteri kepada Toyota Vellfire.

Kerajaan Perikatan Nasional sering memainkan presepsi bahawa keadaan kewangan negara merosot sehingga terpaksa meminjam ratusan bilion ringgit bagi berdepan dengan Pandemik Covid-19. Namun ditengah krisis para Menteri terus bermewah walau hutang negara telah mencecah Rm1.35trilion.

Hutang kerajaan telah mencecah 65% KDNK dan malangnya Menteri hanya memikirkan 'tembolok' sendiri untuk hidup serba mewah ketika rakyat dibawah menderita sehingga terpaksa mengeluarkan wang simpanan hari tua bagi kelansungan hidup hari ini.

Adakah rakyat masih ingin 'mengenyangkan' pemimpin Perikatan Nasional dan Barisan Nasional sedangkan rakyat di bawah masih menderita? Tepuk dada, pandang keluarga.

SYUKRI RAZAB
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up