Gagal Tangani Hutang Negara Akan Menjejaskan Pemulihan Ekonomi

Gagal Tangani Hutang Negara Akan Menjejaskan Pemulihan Ekonomi

Adalah sesuatu yang membimbangkan tatkala membaca unjuran positif yang dibuat Bank Negara terkait tinjauan fiskal tahun mendatang dalam keadaan kita akhiri tahun 2020 dengan nisbah pendapatan isi rumah kepada KDNK pada tahap yang sangat tinggi.

Angka terkini adalah sebanyak 93.3%.

Angka lama iaitu sebanyak 87.5% yang ditetapkan pada bulan Jun 2020 yang lalu juga sudah keterlaluan tinggi dan berada di tahap yang cukup memprihatinkan.

Sebilangan besar hutang ini adalah hutang pinjaman perumahan dan kenderaan, dan ini adalah kesan langsung dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan. Hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada di tahap yang merungsingkan.

Rakyat tidak ada banyak pilihan dalam mendepani masalah ini, dan situasi ini akan mengheret mereka untuk membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan mereka dalam beban hutang yang berpanjangan.

IMF menyarankan untuk kita rencanakan dasar dan kebijakan baru bagi menangani masalah kesenjangan kerana kita tahu beban kewangan saat ini memberi dampak yang cukup parah pada warga yang miskin dan tersisih.

Masalah hutang ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia akan tambah melambatkan fasa pemulihan ekonomi pada tahun ini. Malah, untuk beberapa tahun akan datang juga sekiranya kerajaan yang ada pada hari ini tidak berbuat apa-apa.

Perdana Menteri mesti segera mengarahkan tim ekonominya untuk fikirkan strategi yang baru dalam meringankan beban rakyat saat ini, melebihi kepentingan kroni dan para cukong.

Secara tradisinya, dalam sistem demokrasi kita, pemimpin yang tidak ada keyakinan dan mandat dari rakyat akan segera meletakkan jawatan dari terus memalukan diri sendiri.

ANWAR IBRAHIM


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *