Carian
April 7, 2021

Gaji Minimum Graduan Siswazah : Potongan Gaji Menteri Dan Timbalan Menteri Boleh Menyelamatkan Ekosistem Pekerjaan

 

Saya amat kesal dengan pernyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan apabila beliau seolaholah berlepas tangan apabila menyatakan bahawa paras gaji permulaan siswazah yang rendah bukan pendirian kerajaan bahkan ia adalah persetujuan antara dua pihak iaitu majikan dan pekerja, katanya lagi, itu adalah lebih
baik daripada membiarkan siswazah itu menganggur.

Sebagai seorang Menteri beliau seharusnya memastikan Akta Kerja 1955 (Akta 265) itu dipatuhi Majikan demi memastikan ekosistem penggajian pekerja lebih terjamin bagi mengelakkan majikan dari berbuat sesukanya dan mengambil kesemputan keatas upah yang seharusnya dibayar kepada pekerja, apatah lagi terhadap graduan siswazah.

Laporan Perangkaan Malaysia ( DOSM ) yang melaporkan majoriti golongan lepasan siswazah ini menerima antara RM1,001 hingga RM 1,500 sahaja, sungguh mengejutkan kerana ia kurang dari apa yang saya sendiri terima apabila saya mula bekerja lebih 30 tahun dahulu.

Mana mungkin mereka dapat meneruskan kehidupan perorangan apatah lagi keluarga, apabila kos sara hidup harian atau bulanan melebihi daripada apa yang mereka perolehi.

Saya menyarankan potongan gaji kepada Menteri, Timbalan Menteri mahupun Duta tahap Menteri yang mencecah puluhan bahkan ratusan ribu setiap bulan itu. Bahkan hapuskan sahaja posisi Timbalan Menteri yang tidak kelihatan pun fungsinya dan kembalikan kedudukan GLC kepada yang selayaknya.

Ini semua bakal membuka ruang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan penjawat awam yang bukan sahaja menyumbang kepada kekurangan sumber manusia bahkan juga kecekapan pentadbiran kerajaan daripada wang rakyat disalahgunakan untuk memenuhi tembolok kerakusan hanya beberapa orang “political master”.

Dr.Zaliha Mustafa
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Pengerusi Biro Dasar, Strategi & Latihan, MPWP
Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up