Carian
April 22, 2020

Hentikan Layanan 'Double Standard' Terhadap Wakil Rakyat PH

KENYATAAN KETUA AMK MALAYSIA: 22 APRIL 2020

HENTIKAN LAYANAN ‘DOUBLE STANDARD’ TERHADAP WAKIL RAKYAT PAKATAN HARAPAN

Saya bersimpati dengan kejadian yang menimpa YB P Prabakaran, Ahli Parlimen Batu merangkap Ketua AMK Wilayah Persekutuan yang ditahan (kini dibebaskan dengan jaminan polis) dan disiasat di bawah Seksyen 186 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Berdasarkan laporan-laporan media, beliau telah hadir untuk turut-serta dalam mesyuarat yang melibatkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi kerajaan memandangkan ada kawasan di Taman Sri Murni iaitu dalam Parlimen Batu telah dikategorikan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperketatkan (PKPD).

Selaku Ahli Parlimen kawasan, beliau seharusnya diberi ruang untuk terlibat bersama dan memberi pandangan berdasarkan maklumat-maklumat ‘ground’.

Walaupun telah dihalang menghadiri pertemuan tersebut dan berlaku pertelingkahan, beliau telah meninggalkan lokasi dengan baik.

Kenyataan Menteri Kanan sebelum ini bahawa semua Ahli Parlimen boleh meneruskan khidmat dengan mematuhi SOP, perlu dijadikan panduan.

Dalam kejadian tersebut, Ahli Parlimen Batu hadir bukan bersama rombongan ‘entourage’ yang besar, malah beliau masuk ke bilik mesyuarat tidak menggunakan kekerasan.

Sehingga kini, Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan terpaksa berikhtiar sendiri serta tidak dilibatkan dalam perbincangan dan penyelerasan pengurusan kawasan Parlimen masing-masing.

Saya menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri berkenaan bahawa Perikatan dan Pakatan Harapan perlu bekerjasama untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ini teramat penting dalam keadaan kita perlu mencegah Covid19, membantu rakyat menghadapi PKP dan merangka perancangan post-PKP.

Maka, pemerintah perlu mengambil peluang ini dan bukan sekadar rhetorik untuk bersikap lebih jujur dan bertanggungjawab.

Layanan pilih kasih atau ‘double standard’ terhadap wakil rakyat Pakatan Harapan wajar dihentikan segera.

Terima kasih.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up