Carian
May 17, 2021

Hentikan Pendudukan Haram dan Keganasan Israel. Hentikan Apartid Israel. Tegakkan Perjuangan dan Hak Palestin

Keganasan berterusan oleh Israel ke atas Palestin mesti dihentikan demi mereka yang tidak bersalah. Ratusan terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita; ribuan yang tercedera terutama di kalangan rakyat Palestin, dan tiada kelihatan langsung rasa hormat atau penangguhan meskipun pada hari-hari akhir Ramadan dan perayaan Eid. Rejim Israel mesti memikul tanggungjawab penuh atas kemerosotan konflik tersebut. Dunia tidak boleh menutup mata terhadap keadaan ini berulang kali.

Isu utama nyawa rakyat, kemanusiaan, demokrasi dan kebebasan untuk rakyat, dipertaruhkan. Tetapi apa yang merenung tajam kepada kita ialah bahawa pertama, pengusiran dari rumah rakyat Palestin di Jerusalem jelas merupakan tindakan tidak bermoral. Kesatuan Eropah (E.U.) mengatakan secara terang-terangan tindakan berkenaan melanggar
undang-undang antarabangsa, manakala P.B.B. menyifatkan ia sebagai kemungkinan jenayah perang, dan oleh itu ia dilihat sebagai sebahagian daripada strategi untuk membatasi jumlah penduduk Palestin di Jerusalem dan meningkatkan jumlah orang Yahudi.

Dengan kata lain, ini adalah suatu bentuk pembersihan etnik, peminggiran dan bukti mengenai sebuah rejim apartid Israel. Keganasan juga merebak ke komuniti campuran Yahudi dan Arab di Israel, sebuah front baru dalam konflik yang panjang.

Kedua, serangan terhadap Masjid Al-Aqsa dan para jemaah pada bulan suci Ramadan ialah tindakan Israel yang jelas tanpa diprovokasi untuk membangkitkan tindak balas oleh rakyat Palestin bagi mempertahankan diri. Ini menunjukkan bagaimana Israel bermusuhan tanpa kisah atau hormat terhadap agama, atau tekanan oleh masyarakat antarabangsa. Perbuatan sedemikian menandakan sifat angkuh dan kejam Israel. Ia wajib dibawa ke muka pengadilan dan dihukum!

Justeru, sebagai Ahli Parlimen dari Malaysia yang bertanggungjawab dan prihatin, kami menuntut perkara berikut:

1. Mengutuk dan menghentikan pencerobohan dan serangan Israel yang tidak diprovokasi terhadap Palestin sama ada di Jerusalem, Gaza, Tebing Barat dan wilayah-wilayah lain yang diduduki yang berdekatan.

2. Mengutuk dan menghentikan pendudukan dan peminggiran paksa oleh Israel terhadap rakyat Palestin kerana melanggar hak asasi manusia sejagat dan semua resolusi antarabangsa, khususnya Resolusi Majlis Keselamatan PBB 476, 478 dan 2334.

3. Masyarakat antarabangsa, terutama P.B.B. dan agensinya, serta Negara Anggota, harus bertindak dalam batas kemampuan mereka untuk mencegah dan menghukum kejadian apartid Israel, yang secara bertanggungjawab telah diberi perhatian kepada mereka

4. Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan kesatuan parlimen serantau untuk menerima resolusi bagi mengutuk pencerobohan Israel, menghentikan serangan dan melindungi nyawa dan hak mereka yang tidak bersalah terutama rakyat Palestin

5. Tindakan dan restu Amerika Syarikat (AS) di atas kejahatan Israel terhadap hak-hak sah rakyat Palestin mesti dikutuk dan dinilai semula selaras dengan rang undang-undang di Kongres A.S. yang bertujuan untuk mengakhiri keterlibatan A.S. atas pelanggaran hak asasi manusia Israel. Suatu kenyataan yang tidak dapat dinafikan bahawa bantuan A.S. telah lama digunakan oleh keselamatan Israel untuk melanggar hak asasi anak-anak Palestin, merobohkan rumah keluarga Palestin, atau untuk mengilhak tanah Palestin secara kekal

6. Kerajaan Malaysia mesti menunjukkan kecaman yang lebih keras terhadap tindakan pelanggaran dan penindasan Israel terhadap hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri, hak kembali, keadilan dan kebebasan dengan mendesak organisasi seperti OIC, Liga Arab dan PBB untuk mengambil tindakan yang lebih bermakna untuk melindungi rakyat Palestin

7. Kerajaan Malaysia sebagai pendokong kuat keadilan dan kedamaian untuk perjuangan rakyat Palestin harus bersedia untuk menghantar utusan perdamaian ke Gaza

8. Perdana Menteri mesti segera menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang khas Parlimen sambil mematuhi SOP terkait Covid-19, untuk membawa usul bagi mengutuk Israel dan mengemukakan syor-syor kepada Dewan Rakyat. Ini mesti menunjukkan sokongan bipartisan yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak, tanpa mengira parti.

9. Ahli parlimen mesti bertindak untuk mendedahkan kekejaman oleh Israel dengan mendesak parlimen dan pemerintah untuk

(a) menamatkan semua kerjasama dan perdagangan keselamatan ketenteraan (dana tentera dalam kes AS) dengan apartid Israel dan rejim penindasan yang serupa di seluruh dunia,
( b) melarang semua barang / perkhidmatan syarikat yang beroperasi di penempatan penjajah haram Israel;

dan (c)menuntut penyiasatan PBB terhadap apartid Israel. Sebarang tindakan, langsung atau tidak langsung, besar atau kecil, simbolik atau praktikal adalah penting dan boleh membawa kepada perbezaan yang besar.

10. Boikot produk / perkhidmatan, dan / atau menggerakkan tekanan institusi untuk melupuskan daripada, syarikat dan bank Israel dan antarabangsa yang terlibat dalam jenayah perang Israel dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hentikan Pendudukan Haram dan Keganasan Israel. Hentikan Apartid Israel. Tegakkan Perjuangan dan Hak Palestin!

Disokong oleh Ahli-ahli Parlimen Pembangkang Malaysia daripada pelbagai parti

Related Posts
crossmenuchevron-up