Carian
March 29, 2021

Hentikan Sebar Video Penderaan Kanak-kanak Di Media Sosial

Terima kasih kepada semua pihak yag cukup prihatin terhadap insiden kanak-kanak yang dicampak oleh gurunya di sebuah Tadika. Jangan ambil mudah insiden ini kerana ia berlaku dalam premis pendidikan dan ekosistem pendidikan awal kanak-kanak.

Selain tindakan keras di bawah Akta Kanak-Kanak, kementerian yang berkaitan juga harus segera menangani klip yang tular ini kerana ia melibatkan suatu insiden yang sedang disisasat, wajah kanak-kanak yang menyaksikan kejadian tersebut dan paparan penuh tindakan guru tersebut.

Dalam mengurus kemarahan dan tindakan undang-undang, kesejahteraan psikososial kanak-kanak ini juga mesti diberikan keutamaan. Tidak terkecuali kesejahteraan jiwa guru yang menjadi tumpuan di dalam kes ini.

Saya percaya, semua kanak-kanak, baik yang menjadi mangsa dan yang menyaksikan kejadian tersebut, mesti mendapat sokongan kaunseling trauma manakala guru tersebut juga mesti menghadiri sesi kaunseling sebagai syarat tambahan kepada hukuman sedia ada.

Di saat ini, keutamaan kita adalah kesejahteraan psikososial, emosi dan jiwa kanak-kanak yang merakam peristiwa trauma tersebut.

Berhenti menularkan klip rakaman tersebut, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan yang adil dan telus.

Fadhlina Siddiq
Pengerusi Biro Guaman & Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up