Carian
June 16, 2021

Hishamuddin Bersuara Selepas 450 Hari Pandemik Bukti Keprihatinan Palsu

Saya kagum dengan kerajinan Hishammuddin Tun Hussien mengulas perihal perkembangan negara khususnya berkaitan polemik pengurusan COVID-19 dan ketidaktentuan politik negara mutakhir ini. Sudah pasti - selain dari kepentingan beliau untuk dilihat kekal relevan dalam pentas politik negara – kerajinan beliau ini bolehlah kita tafsirkan bahawa kemelut politik yang sedang melanda Kerajaan Perikatan Nasional adalah sesuatu yang sedang berlaku secara real, benar-benar berlaku dan istilah #KerajaanGagal semakin menampakkan kesahihannya.

Saya terpanggil untuk mengulas satu per satu gesaan Hishammuddin yang beliau ketengahkan melalui penulisan terkini beliau “Melangkaui Politik dan Pandemik”, mudah-mudahan ini dapat menyedarkan beliau dari lamunan.

Dalam membahas perihal keperluan Parlimen kembali dibuka, Hishammuddin mengemukakan tiga (3) perkara.

Pertama, beliau menggesa bahawa desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi serta tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

Ulasan saya: Hishammuddin wajar bersuara di dalam Mesyuarat Kabinet di atas kapasiti beliau selaku Menteri Kabinent bahawa penutupan Parlimen juga tidak boleh menjadi alat untuk mengekalkan kekuasaan secara tidak bermaruah. Terimalah hakikat bahawa atas prinsip kebertanggungjawaban bersama "collective responsibility", kelemahan Kerajaan mengurus pandemik ini adalah sumbangan tidak rasmi beliau secara tidak langsung. Hanya bersuara selepas 450 hari pandemik membelenggu negara menunjukkan satu keprihatinan palsu, yang sebenarnya juga satu bentuk agenda tersembunyi demi nafsu politik beliau yang konon khabarnya calon Perdana Menteri dalam penantian.

Kedua, beliau juga menggesa bahawa Ahli-Ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan Parlimen yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya terutama dalam pengurusan Covid-19.

Ulasan saya: Apakah beliau tidak sedar bahawa gesaan ini datang dari hampir kesemua parti-parti politik dominan dalam negara termasuk Umno? Sudah pasti isunya bukan perihal tembolok kekuasaan: sebaliknya perihal Parlimen sebagai ruang suara rakyat disuarakan melalui Ahli-ahli Parlimen. Kelemahan pengurusan pandemik, pelaksanaan program Prihatin Rakyat yang tiada hala tuju, rakyat yang semakin tertekan dek kehilangan pekerjaan dan pendapatan, proses vaksinasi yang lembab – inilah yang hendak diketengahkan oleh kami Ahli-ahli Parlimen. Hangatnya media sosial dengan #KerajaanGagal dan #KerajaanBodoh kelihatan tidak diambil endah walaupun itu datang daripada nurani dan suara rakyat. Maka, Parlimenlah ruang yang wajar dimanfaatkan.

Ketiga beliau juga menggesa bahawa berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima sebaliknya Pelan Pemulihan Negara wajar disokong semua pihak.

Ulasan saya mudah sahaja, sebagai anggota Kabinet Perikatan Nasional, sewajarnya beliau menumpukan usaha untuk memastikan bagaimana Kerajaan ini tidak gagal sebagaimana yang semakin terbukti sekarang. Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, wajar dipersoalkan kerana ia tidak menggambarkan keseriusan Kerajaan untuk menguruskan pandemik COVID-19 ini.

Kesimpulannya, Hishammuddin wajar kembali menilai kembali kapasiti beliau di dalam Kerajaan pada Ketika ini. Menulis panjang-panjang hanya membuktikan bahawa beliau sedang menangguk di air keruh. Buktikanlah bahawa Kerajaan ini masih mempunyai hati nurani untuk membela rakyat, bukannya mempolitikkan pandemik demi mengekalkan kekuasaan secara tidak bermaruah.

Di sebalik keluh kesah beliau melalui beberapa tulisan beliau seminggu dua ini, elok beliau mulakan dengan meletakkan jawatan untuk memperlihatkan jiwa besar beliau sekaligus boleh mengurangkan beban kewangan negara !

DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR B. MOHD AKIN
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up