Carian
July 30, 2021

#IMPAKKEADILAN Menyumbang 81 Alat Oksigen Dalam Usaha Memerangi Covid19

 

Memahami situasi COVID19 yang semakin kritikal dan mengambil kira keprihatinan serta cadangan Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Penasihat KEADILAN, parti telah melancarkan pendanaan biayasama (Crowdfunding) bawah inisiatif #ImpakKEADILAN sejak minggu lepas.

Dalam tempoh seminggu, inisiatif tersebut berjaya memperolehi sumbangan sebanyak 81 unit alat Oksigen Concentrator yang bernilai RM250,000 daripada kalangan pemimpin dan penyokong KEADILAN.

Sebanyak 30 unit akan disumbangkan kepada Hospital Selayang, 25 unit kepada Hospital Sultan Abdul Halim Kedah, 16 unit kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, 5 unit kepada Hospital Slim River, dan 5 unit kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

KEADILAN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang, serta beberapa pusat khidmat wakil rakyat KEADILAN yang sudi menggarap tanggungjawab untuk menjadi Nexus dalam pendanaan biayasama ini.

Mereka adalah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Malim, Pusat Khidmat ADUN Bakar Arang, Pusat Khidmat ADUN Rawang, Pusat Khidmat ADUN Simpang Pulai, Pusat Khidmat ADUN Teja dan pusat khidmat saya (DUN Semambu).

Hari ini juga kami berkesempatan untuk memperkenalkan #ImpakKEADILAN, satu inisiatif yang mengerakkan program serta aktiviti KEADILAN yang berimpak sosial dengan mengambil pendekatan semasyarakatan (All-of-society).

Projek dan inisiatif #ImpakKEADILAN akan dianjurkan di semua peringkat parti, dan meliputi program-program seperti memperbaiki kemudahan awam yang usang, mengecat pagar kubur kampung, membina perigi bagi tempat yang tiada bekalan air, dan program-program seumpama yang membawa manfaat langsung kepada masyarakat.

Buat masa ini, #ImpakKEADILAN telahpun menyempurnakan projek-projek seperti memperbaiki rumah usang di Kota Samarahan, Sarawak, bengkel membuat kraftangan tradisi Kadazan di Kota Marudu, Sabah, kursus menanam jambu unda di Rompin, Pahang, latihan membuat hamper di Kluang, Johor, dan gotong-royong mengganti atap bocor tadika di Kuala Terengganu.

Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Halwa Malaysia atas sumbangan 10 unit Oxygen Concentrator (6 unit 2.5 liter dan 4 unit 5 liter) untuk inisiatif #ImpakKEADILAN. Kesemua peralatan ini akan digunakan dengan sebaiknya untuk membantu rakyat yang mempunyai keperluan mengikut kesesuaian.

Sekalung penghargaan juga kepada pihak hospital yang sudi memberikan peluang kepada kami untuk menyumbang. Tidak lupa kehadiran Datuk Seri Wan Azizah, Penasihat KEADILAN dalam sesi penyerahan Oxygen Concentrator pada waktu yang cukup kritikal ini. Diharapkan pendekatan “All-of-society” ini besertaan dengan semangat kerjasama dan solidariti anggota masyarakat, kita dapat mengatasi cabaran wabak COVID19 ini bersama.

YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up