Carian
March 22, 2021

Ismail Sabri Harus Henti Serang Anwar Ibrahim

Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob perlu berhenti menyerang dan mempersalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Saya tidak terkejut dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dengan sewenang-wenangnya menyerang dan mempersalahkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Yang mengejutkan, selaku pemimpin peringkat ketiga tertinggi dalam ranking UMNO, parti yang pernah muncul sebagai parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) sehingga Mei 2018, beliau tidak dapat membezakan antara signifikan kepimpinan parti, sebaliknya mengambil pendirian tidak betul untuk menyerang dan mempersalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persoalan saya, kenapa Datuk Seri Ismail Sabri perlu mempersalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Umno punyai ketuanya dan sewajarnya dalam prinsip organisasi, beliau sebagai Naib Presiden perlu berbincang dengan Presiden beliau dan bukannya meletakkan kesalahan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua, saya percaya dan yakin bahawa UMNO akan lebih kukuh dan bersatu jika tiada pengkhianat, dan tiada pengkhianatan yang dibuai dengan jawatan ekoran kerjasama dengan BERSATU dan Perikatan Nasional (BN).

UMNO juga telah dilemahkan oleh pengkhianat yang bukan sahaja bermaharajalela dalam partinya tetapi juga parti-parti lain – termasuklah Parti Keadilan Rakyat. Ahli-ahli Parlimen dipaksa menghentikan sokongan terhadap parti mereka melalui ugutan dan keluar menjadi Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan. Segala yang berlaku ini demi kepentingan Bersatu dan Perdana Menteri.

Kami di KEADILAN yakin bahawa perbincangan yang diadakan, yang masih di peringkat awal, tidak mungkin akan menjejaskan kekuatan UMNO. Sementara KeADILAN menghargai kebijaksanaan sebahagian besar pemimpin UMNO sedia ada, kenyataan-kenyataan pemimpin seperti Datuk Ismail Sabri Yaakob akan merugikan parti itu.
Ramai dari kalangan ahli UMNO menyedari bahawa parti tersebut dibayangi oleh masa lampau parti yang dilemahkan oleh korupsi, pertembungan dalaman dan ketamakan individu terhadap kuasa.

Oleh itu, daripada mencuba menyalahkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk segala masalah UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri sepatutnya mengakui bahawa sebahagian ahli UMNO sedar satu-satunya jalan untuk terus bertahan dan kekal relevan adalah dengan mewujudkan kerjasama dengan parti lain atas dasar nilai yang dikongsi bersama.
Apakah nilai-nilai tersebut? Nilai tersebut adalah nilai yang selaras dengan aspirasi rakyat yang didasari oleh perpaduan, demokrasi, kemakmuran bersama dan mewujudkan kerajaan yang menyebarluaskan integriti dan menegakkan tadbir urus yang baik.
Ahli UMNO turut menyedari bahawa kerjasama parti bersama Bersatu hanyalah didasari oleh keinginan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal berkuasa atas apa cara sekalipun.

Oleh itu, nasihat saya kepada Datuk Seri Ismail Sabri, daripada menyerang tanpa hala tuju dan asas, sepatutnya beliau mengadakan musyawarah krisis bersama Presiden UMNO dan seluruh kepimpinan parti untuk berbincang bagaimana melawan ketidakrelevanan UMNO yang didalangi Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukannya cuba menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

YB Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up