Isu Ekzos Bising: Kerajaan Wajar Lebih Teliti Dan Menyeluruh

Isu Ekzos Bising: Kerajaan Wajar Lebih Teliti Dan Menyeluruh

Kerajaan telah mengeluarkan arahan tindakan saman terhadap penunggang motosikal atas kesalahan mengubah suai ekzos sehingga bising bermula 1 Mac 2021. Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula mengumumkan hanya tindakan advokasi yang akan dikenakan, bukan tindakan saman seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Saya menyambut baik usaha kerajaan dalam menjamin ketenteraman kepada masyarakat awam. Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, tindakan saman ke atas kesalahan mengubah suai ekzos ini dibuat bertujuan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam daripada bunyi bising ekzos yang telah diubah suai terutamanya seperti yang berlaku di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah kos rendah.

Namun, saya menyarankan agar kerajaan lebih teliti dan cermat dalam tindakan yang memberi kesan kepada rakyat. Sejurus selepas penguatkuasaan tindakan saman ini, kebanyakan rakyat khususnya anak muda menyuarakan pendapat berkenaan tindakan saman yang dilihat keterlaluan ini. Malahan, ada suara yang menyatakan tindakan saman dan sita ini mendatangkan kesukaran kepada pengguna motosikal yang terbabit.

Selain itu, wujud persoalan berkenaan tindakan saman dan sita ini kerana ia dilihat tidak menyeluruh dan tidak cermat. Persoalan timbul apabila tindakan hanya dikenakan kepada penunggang motosikal yang mengubah suai ekzos tetapi tidak kepada pembekal, penjual dan pihak yang menawarkan perkhidmatan mengubah suai ekzos ini. Sekiranya pengubahsuaian ini melanggar undang-undang, mengapa duti import alat ganti ini masih dikutip?

Tambahan lagi, pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan semalam menunjukkan bahawa penguatkuasaan tindakan ini tidak diberi penelitian sewajarnya. Sudah berkali-kali kerajaan menunjukkan kelemahan dan kecuaian dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang. Dalam banyak waktu dan keadaan, kelihatan kerajaan lebih berminat untuk laksana dahulu dan teliti kemudian. Tunggu nasi menjadi bubur.

Selaku wakil kepada rakyat, termasuk komuniti bermotosikal, saya menggesa agar kerajaan tampil dengan perancangan serta pelaksanaan yang lebih kemas, cermat dan bersesuaian berkenaan perkara ini. Niat murni membawa ketenteraman kepada awam wajar disusulkan dengan tindakan yang tidak menyukar dan mengelirukan rakyat.

Kementerian Pengangkutan boleh mendapatkan pandangan dan cadangan daripada komuniti bermotosikal mengenai perkara ini. Sebagai contoh, ada yang mencadangkan agar kerajaan menyediakan perkhidmatan menguji motosikal bagi melihat adakah ia masih dalam lingkungan undang-undang dan sijil diberikan kepada motosikal yang mematuhi had undang-undang.
Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan wajar mengeluarkan panduan yang lengkap dan jelas terkait undang-undang mengenai perkara ini agar pendidikan kepada masyarakat juga terlaksana.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ahli Parlimen Ledang
Jurucakap Digital, Telekomunikasi dan Pengangkutan KEADILAN


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *