Jalan Semakin Cerah Bagi PH Menghadapi PRU15

Jalan Semakin Cerah Bagi PH Menghadapi PRU15

Teka-teki politik sudah berakhir. Kini realiti jelas yang muncul. Umno berkerat rotan; berpatah arang dengan Bersatu.PAS pula behenti bermain di dua kolam. PAS tinggalkan kerjasama dengan UMNO.Pasangan barunya lebih bergetah iaitu Bersatu yang menjanjikan PAS dapat masuk PRU15 dalam kedudukannya di pihak kerajaan, bukan lagi pembangkang seperti selama ini. Perpaduan Ummah dengan Umno telah PAS lupa sekarang. Muafakat Nasional gugur dalam kandungan.Kepentingan politik pilihanraya lebih mengiyurkan lagi berselera dari slogan muluk-muluk seperti demi bangsa dan demi agama.

Semasa PRU 14 dulu juga ada tiga gabungan, iaitu BN, PH dan GS (Gabungan Sejahtera – PAS, dan parti-parti kecil yang wujud di musim pilihanraya). Jika keadaan kekal seperti sekarang, maka kemungkinan besar dalam PRU15 ada tiga gabungan politik juga yang akan berentap tiga penjuru,iaitu BN, PN dan PH.

BN (Umno, MCA dan MIC), PN (Perikatan Nasional terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan lain-lain) dan PH (Keadilan, DAP dan Amanah). Parti-parti di luar BN, PN dan PH ialah Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Warisan, Muda, PSM (Parti Sosialis Malaysia) dan lain-lain.

Jika pertembungan tiga penjuru ini berlaku, yang mendapat faedah yang besar ialah Pakatan Harapan.Mari kita analisa secara ringkas kekuatan dan kelemahan tiga gabungan ini: BN, PN dan PH

BN itu sebenarnya Umno. MCA dan MIC sekadar melukut di tepi gantang. “Masuk tak penuh. Keluar pun tak kurang.” Jadi kita analisa Umno sahaja. Siapa tak tahu Umno yang terkait dengan skandal 1MDB ini punya wang yang banyak. Anggota Umno saja seramai 3.3 juta orang sekarang, sebesar Parti Komunis Indonesia pimpinan D.N.Aidit satu waktu dulu.

Umno ini mempunyai organisasi akar umbi yang luas dan tersusun serta bersatu. Yang berpecah ialah di peringkat pimpinannya. Ada Kluster Mahkamah yang imejnya pemimpinnya tercalar kerana sedang didakwa dengan berpuluh tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pelupusan wang haram.Pemimpin-pemimpin besar mereka itu dalam Kluster ini. Ada pula kelompok yang dipanggil Kluster Menteri, yang lebih setia dan tunduk pada Perdana Menteri daripada Presiden Parti Umno sendiri.Umno telah isytiharkan dia akan bergerak solo dalam PRU15. Mungkin parti Umno ini akan muncul sebagai hero atau mungkin juga kecundang Zero. Biarkalah “Si Luncai terjun dengan labu-labunya…”

Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan Darurat untuk terus berkuasa, adalah satu perikatan yang tebal muka dan tak tahu malu. Dia tak kisah orang kata Kerajaan PN ini tak ada keabsahan, tak ada majoriti di Parlimen, Apa dia pedulu? Proklamasi Darurat memberi PN lesen untuk berkuasa. Pergi jahanam apa itu demokrasi, “check and balance”; pergi jahanam apa itu pengasingan kuasa dan kebebasan parlimen, kedaulatan undang-undang ataupun keluhuran Perlembagaan. Yang penting dia ada Ordinan Darurat dengan kuasa-kuasa perlu yang didikri satu persatu.

Kerajaan PN yang berperangai sedemikian akan menghadapi rakyat dalam PRU15 nanti. Menarik untuk melihat apa sikap dan pendirian para pengundi nanti terhadap Kerajaan PN yang berani buka pasar malam, berani buka panggung wayang, berani buka sekolah tetapi tidak berani buka Parlimen.

Tetapi siapa boleh menafikan PN mempunyai jentera kerajaan apabila dia mengadakan PRU15 nanti. Muhyiddin Yassin yang menjadi Pengarah Pilihanraya BN di bawah PM Najib Razak dalam PRU13 amat faham apa ertinya jentera kerajaan untuk membantu parti politik dalam pilihanraya. Tetapi Perdana Menteri kelapan itu amat faham bahawa kerajaan PN mempunyai kepimpinan yang amat lemah. Selain daripada Muhyiddin siapa lagi para general PN yang berwibawa? Muhyiddin dikelilingi oleh para pemimpin melompat daripada Umno dan Keadilan. 13 juara melompat dari Umno dan 15 juara melompat dari Keadilan. Mereka ini digelar pengkhianat oleh orang-orang Umno dan Keadilan. Dalam hal episod lompat si katak lompat ini, nasib Umno dan Keadilan tak banyak berbeza.

Persoalannya, adakah rakyat akan sokong PN yang terdiri daripada Bersatu dan PAS yang berpasangan semata-mata untuk faedah menjaga kepentingan politik masing-masing untuk terus hidup dan berkuasa? Adakah PN ini ada Prinsip Asas Bersama atau “common flatform” atau “common philosophy” atau “Ideology yang sama”?

Mungkin ada.Pemimpin Bersatu dan PAS akan menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah bersandarkan kepada “perpaduan Melayu” atau “Malay Unity”. Satu soalan boleh ditanya kepada Bersatu dan PAS, iaitu adakah mungkin slogan “perpaduan Melayu” itu memberi sebarang makna tanpa ada Umno bersama?

Kita telah lihat serba kekurangan dan kelemahan Umno dan PN seperti dijelaskan di atas. Jadi PH perlu atur baik-baik strateginya untuk menghadapi PRU15. PH sekarang terdiri hanya tiga parti iaitu Keadilan, DAP dan Amanah. Cukup dengan tiga parti itu. Jangan tambah-tambah, dan jangan kurang-kurang. Mahathir Mohamad dan Pejuang tidak dalam PH. Itu bagus dan tepat. Yang sudah-sudahlah. Tanpa Mahathir, PH mempunyai peluang yang lebih baik menghadapi PRU15 nanti.

Tetapi ada faktor yang penting yang akan menetukan sebelum dan selepas PRU15 nanti. Iaitu faktor kekuatan-kekuatan politik dari Malaysia Timur, Sarawak dan Sabah. Ini perlu diberi perhatian serius dan bijaksana oleh PH. Siapa yang hendak jadi kerajaan dan hendak berkuasa di Putrajaya pada PRU15 nanti, maka mestilah mendapat sokongan dari Parti GPS Sarawak (Gabungan Parti-Parti Sarawak) dan juga parti Warisan dari Sabah. Yang jelas gabungan Bersatu dan PAS dalam PN di peringkat pusat dan nasional besar kemungkinan sukar diterima oleh rakyat Sarawak dan Sabah.

Maka inilah masanya PH perlu menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang akan turun mengundi dalam PRU 15 nanti.Pertama PH jelas mempunyai falsafah perjuangan yang sama iaitu agenda Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang agama yang boleh diterima di Semenanjung dan di Malaysia Timur. Malaysia yang adil untuk semua, merapatkan jurang kaya miskin antara kaum, dan antara wilayah.PH yang akan mengemukakan manifesto pilihanraya yang lebih realisik, pragmatik, dan mudah dihadam oleh rakyat dengan keutamaan diberi kepada isu ekonomi untuk menjana pertumbuhan, gaji pekerja yang lebih adil dan peluang pekerjaan baru untuk generasi muda dan yang menganggur.

Di samping itu agenda reform terhadap usaha memperbaiki institusi-institusi penting negara tidak dilupai iaitu seperti kebebasan parlimen, kebebasan Kehakiman, SPR yang adil dan bersih, SPRM dan PDRM yang profesional serta berintegriti.

Dengan keyakinan bahawa PH mempunyai masa yang cerah dengan perkembangan politik yang berlaku kini, maka PH mesti kekal bersatu padu dan fokus dalam usaha menghadapi PRU15 yang semakin ketara dekat waktunya. Segala “duri dalam daging” perlu dicabut. PH yang mempunyai kepimpinan yang kuat dan teruji; PH yang mempunyai pengalaman memerintah walaupun sekadar 20 bulan, yang dapat mengenal kelemahan dan kekuatannya semasa menjadi kerajaan dulu; PH yang berbilang kaum dan berbilang agama; PH yang yang muncul dengan agenda reformasi dan bersikap sederhana serta bijaksana adalah resepi untuk kejayaan dalam PRU15 nanti.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *