Carian
July 12, 2021

Kabinet Dinaikkan Pangkat Menjadi Menteri Kanan, Juga Tidak Membawa Sebarang Kebaikan Terhadap Negara

Saya merujuk kepada aduan Dewan Perniagaan Jerman dan Jepun di Malaysia yang menghantar aduan rasmi tentang Prosedur Operasi Standard (S.O.P) dan penguatkuasaan Undang-undang di Malaysia yang berubah-ubah. Perkara ini sekali lagi menjejaskan reputasi dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Aduan sebegini adalah serius dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun Kerajaan Perikatan Nasional masih tidak memandang serius, sebaliknya terus menafikan kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini dan terus menuduh terdapat pihak-pihak yang tertentu sengaja menjatuhkan imej Kerajaan PN.

Slogan propaganda tersebut mungkin dapat menyakinkan para penyokong tegar Kerajaan PN, tetapi data ekonomi, laporan tinjaun dan pendapatan pelabur adalah petunjuk yang paling sesuai untuk mencerminkan status dan perkembangan ekonomi negara.

Dalam Indeks Pemulihan Covid-19 yang dipaparkan oleh ‘Nikkei Asia’, Malaysia berada di tangga ke-114 di antara 120 negara yang lain. Manakala, ‘The Economist’dalam mengukur indeks negara kembali normal selepas pandemik Covid-19, Malaysia berada di tangga yang terakhir di antara 50 buah negara.

Pada bulan Jun, Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali menyatakan bahawa prospek pertumbuhan ekonomi negara adalah cerah dan beliau juga menyatakan keyakinan pelabur asing terhadap negara kita semakin meningkat walaupun dalam pandemick Covid-19. Tetapi pada 9 Julai, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia McFeeters telah mengkritik Kerajaan PN kerana mengecewakan pelabur-pelabur Amerika Syarikat yang merupakan rakan perdagangan ketiga besar Malaysia. Beliau juga menyatakan bahawa undang-undang perdangangan yang tidak menentu menyebabkan pelabur hilang minat mereka dan ia telah berlaku sejak daripada dahulu.

Saya berpendapat bahawa masalah struktur telah wujud selama beberapa dekad ini. Perlu dilakukan perubahan dan reformasi yang drastik ketika pandemik ini agar ekonomi negara lebih fleksibel dan lebih berdaya saing. Akan tetapi, apa yang menyedihkan ialah Kerajaan PN hanya sibuk untuk meminta pengusaha perniagaan untuk memohon kebenaran beroperasi dengan SOP dan pengkategorian yang berubah-ubah.

Sebelum berlaku pandemik ini, pelabur-pelabur asing akan melihat kepada situasi politik, persekitaran sosial dan pembinaan infrastruktur sebagai faktor-faktor penting untuk menentukan pelaburan. Namun, dalam era pasca Covid-19, tahap pengurusan pandemik dan kemampuan tindak balas Kerajaan akan turut menjadi petunjuk atau faktor yang sangat penting bagi pelabur asing. Jelas berdasarkan beberapa perkara utama di atas, prestasi kerajaan berada di tahap yang tidak memuaskan. Jika masalah struktur tersebut tidak diselesaikan, saya khuatir Malaysia tidak akan menjadi pilihan utama untuk pelaburan asing pada masa akan datang.

Setelah pengisytiharan Darurat pada bulan Januari, Kerajaan PN yang berjanji untuk fokus memerangi Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi tidak direalisasi. Sebaliknya situasi Covid-19 semakin teruk dan mereka hanya sibuk berpolitik. Dalam situasi sebegini, meskipun keseluruhan Menteri Kabinet dinaikkan pangkat menjadi Menteri Kanan, ia juga tidak membawa sebarang kebaikan terhadap kemajuan dan progres negara.

YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up