Carian
May 19, 2020

Kaji Semula 72 Tapak TKPM

KENYATAAN MEDIA

 

19 MEI 2020

 

KAJI SEMULA 72 TAPAK TKPM UNTUK TINGKATKAN PENGHASILAN MAKANAN, JANGAN MEMBEBANKAN RAKYAT DENGAN KENAIKAN HARGA MAKANAN

Oleh YB Lee Chean Chung, Bendahari Agung KEADILAN

 

Di Kota Bahru, Harga ayam yang dahulunya RM3/kg sekarang naik sehingga RM7/kg . Di Kedah, harga sayur seperti cili, tomato, kacang buncis dan daun sup naik antara RM1 hingga RM3/kg . Kenaikan yang sama turut dikesan di Perak dan Selangor .

 

Kisah yang berlaku kebelakangan ini telah membuktikan bahawa kenyataan saya bertarikh 21 April 2020 itu benar . Dalam kenyataan tersebut, saya telah menegur kerajaan yang bersikap tidak serius menangani jaminan makanan dalam negara kerana tiada pelan tindakan menggunakan Dana Jaminan Makanan bernilai RM 1 billion, dan juga memberi amaran bahawa kemungkinan berlakunya krisis bekalan makanan dan kenaikan harga bagi hasil tanaman.

 

Inilah satu kesan apabila kerajaaan Perikatan Nasional gagal menjamin keselamatan makanan. Sepertimana peringatan saya sebelum ini pada bulan lepas, kehidupan rakyat akan jadi lebih susah akibat risiko kenaikan harga bekalan makanan secara mendadak.

 

Kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rantaian bekalan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengakibatkan petani mengambil tindakan mengurangkan hasil pertanian. Kini, permintaan barangan basah masih sama ataupun akan meningkat menjelang musim perayaan. Selain itu, kerajaan Pahang telah meningkatkan kos sewa tanah pertanian di Cameron Highlands dengan kadar 500% pada Feb 2020 juga menambahkan lagi beban petani dan mengakibatkan kenaikan harga sayur-sayuran secara tidak langsung.

 

Oleh itu, peningkatan harga barangan basah turut berlaku dan keadaan ini bertambah buruk kerana kuasa rakyat untuk membeli turut merosot ekoran ramai yang menganggur, hilang pekerjaan ataupun gaji dipotong.

 

Di sini, saya menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan perlu memandang serius isu jaminan makanan negara dengan mengambil kira cabaran kemelesetan ekonomi negara berikutan impak penularan Covid-19. Kerajaan harus mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dengan menghidupkan penggunaan tanah kerajaan yang terbiar atau tidak produktif.

 

Sehubungan itu, 72 tapak Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dimiliki kerajaan perlu dikaji semula keberkesanannya dan tamatkan kontrak sewa pengusaha yang tidak berdaya saing serta tidak mengusahakan tanah itu sendiri. Kontrak sewa patut diberikan kepada petani-petani yang tulen bagi meningkatkan pengeluaran makanan.

 

Perdana Menteri yang mengetuai Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara sepatutnya menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menggubal dasar bagi menjamin keselamatan makanan, dan bukan sibuk berpolitik mengukuhkan kedudukan serta menjatuhkan kerajaan-kerajaan negeri dalam waktu ini.

 

YB Lee Chean Chung

Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat

Related Posts
crossmenuchevron-up