Kaji Semula Keputusan Benarkan Pengeluaran KWSP

Kaji Semula Keputusan Benarkan Pengeluaran KWSP

 

79766807_2861180137226922_5590670190883897344_n

 

KENYATAAN MEDIA

KAJI SEMULA KEPUTUSAN BENARKAN PENGELUARAN KWSP

Saya membaca dengan penuh kebimbangan pengumuman kerajaan bahawa semua pencarum KWSP berumur 55 tahun ke bawah kini dibenarkan mengeluarkan sebanyak RM500 sebulan daripada caruman terkumpul mereka di KWSP untuk tempoh 12 bulan akan datang.

2. Ini adalah satu idea yang akan menjejas masa depan ramai rakyat Malaysia.

3. Hasrat disebalik penubuhan KWSP ialah untuk mewujudkan satu skim tabungan untuk hari tua. Ia bukanlah akaun simpanan seperti di bank-bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

4. Pada ketika ini pun, jumlah simpanan di dalam akaun KWSP kebanyakan rakyat Malaysia tidak mencukupi untuk menyara kehidupan mereka selepas bersara.

5. Pada ketika negara merdeka, jangka hayat rakyat Malaysia ialah 58 tahun. Simpanan yang sedikit sudah memadai untuk hari-hari selepas bersara.

6. Kini jangka hayat rakyat Malaysia telah mencapai 76 tahun. Namun, jumlah simpanan KWSP sebahagian besar mereka adalah tidak mencukupi untuk menyara kehidupan sehingga ke 76 tahun.

7. Lebih kurang 70 peratus dari pencarum ke KWSP mempunyai simpanan yang hanya dapat bertahan untuk selama 5 tahun sahaja selepas mereka bersara.

8. Demikian juga, lebih kurang 85 peratus dari pencarum KWSP mempunyai pendapatan bulanan RM4,000 ke bawah. Pengeluaran sebanyak RM500 sebulan adalah lebih separuh dari caruman bulanan.

9. Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab untuk menyuruh rakyat Malaysia mengeluarkan RM500 sebulan daripada simpanan KWSP untuk membiayai keperluan mereka.

10. Ia adalah satu langkah jangka pendek yang akan memudharatkan mereka di masa hadapan. Rakyat akan terpaksa menanggung masalah yang lebih besar selepas persaraan mereka nanti.

11. Dalam krisis dan kemelesetan yang kita hadapi hari ini, kerajaan seharusnya menunjukkan kesediaan berkorban untuk rakyat.

12. Adalah lebih wajar semua pekerja yang bergaji kurang dari RM10,000 sebulan dikecualikan dari potongan cukai bulanan untuk tempoh 12 bulan akan datang. Ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.

13. Tindakan ini akan merangsang kegiatan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna. Kesan alir-ke-bawah (trickle down) dari pendekatan ini adalah lebih cepat dalam merancakkan aktiviti perniagaan, khusus di sektor peruncitan.

14. Dan lebih penting, ia tidak menjejaskan simpanan KWSP rakyat yang diperlukan untuk zaman selepas persaraan.

15. Kerajaan boleh menanggung belanjawan defisit. Tetapi rakyat tidak akan dapat menanggung perbelanjaan selepas persaraan jika sebahagian besar dari simpanan mereka digunakan pada ketika ini.

16. Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan mengkaji semula keputusan membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan KWSP mereka dan sebaliknya membatalkan kutipan cukai peribadi melalui PCB untuk selama 12 bulan.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN
MP KULIM BANDAR BAHARU
ADUN PANTAI JEREJAK

23 Mac 2020


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *