Carian
September 5, 2021

Keabsahan Undi Percaya Terhadap PM: Pandangan Peguam Negara Menyalahi Konvensyen Perlembagaan Dalam Parlimen

Merujuk kepada kenyataan Peguam Negara yang bertarikh pada 4 September, 2021 di mana Peguam Negara telah menyatakan bahawa tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri kerana beliau telah dilantik dan Kerajaan telah dibentuk menurut lunas undang-undang.

Kami menegaskan bahawa pandangan Peguam Negara tersebut telah menyalahi amalan, praktis, “precedent” serta kelaziman konvensyen usul percaya/tidak percaya di dalam Parlimen yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Pada tanggal 18 Ogos, 2021, suatu Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara telah menyatakan dengan jelas di dalam kenyataannya seperti berikut:
“Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa YDPA telah pun bertitah agar proses keabsahan tersebut dilaksanakan sebagai memenuhi keperluan kehendak perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Malah titah baginda ini juga memperlihatkan hikmah dan kebijaksanaan YDPA yang mengangkat praktis konvensyen di dalam Parlimen yang telah dilazimi dan dilaksanakan sekian lama.Malah konvensyen perlembagaan yang terkait rapat dengan undi percaya ini merupakan sebahagian daripada ruh demokrasi berparlimen.

Kami ingin merujuk kepada beberapa peristiwa bahawa amalan konvensyen ini telah dilaksanakan oleh beberapa orang Perdana Menteri yang terdahulu di mana mereka telah memperoleh sokongan majoriti 2/3 yang jauh lebih meyakinkan. Kepatuhan kepada konvensyen ini telah dilaksanakan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn pada tahun 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2003 bagi memastikan keabsahan mereka sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Seruan supaya diadakan usul percaya adalah supaya pelantikan tersebut disahkan. Sewajarnya, Peguam Negara menyokong cadangan yang ternyata boleh menyuburkan tradisi negara. Malah perlembagaan tidak terbatas kepada peruntukan sedia ada semata-mata malah segala amalan, praktis, kelaziman dan konvensyen yang selari dengan perlembagaan juga perlu diperkasakan.

Kami menegaskan bahawa Perlembagaan tidak boleh dibaca secara mekanikal sebaliknya harus dilihat dan ditafsir secara konteks sejarah, kejadian semasa dan diperkukuh dengan konvensyen, amalan dan mekanisme untuk terus memperkukuhkan amalan demokrasi di Malaysia.

‘MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI’

Ahli-Ahli Jawatankuasa:
YB William Leong Jee Keen (KEADILAN, Selayang)
YB Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH, Sepang)
YB Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh (DAP, Bukit Gelugor)
YB Sivarasa Rasiah (KEADILAN, Sungai Buloh)
YB Muhammad Faiz Fadzil (AMANAH, Permatang Pasir)
YBhg Fadhlina Sidek (KEADILAN)
YBhg Dr Zulqarnain Lukman (AMANAH)

Related Posts
crossmenuchevron-up