KEADILAN Bersiap Siaga Untuk Parlimen Bersidang Semula

KEADILAN Bersiap Siaga Untuk Parlimen Bersidang Semula

Rakyat menuntut ketelusan dan pertanggungjawaban yang lebih besar dari Kerajaan atas kegagalan mengawal penularan wabak COVID-19 dan juga pengendalian program vaksinasi yang lemah dan tidak cekap. Cara terbaik untuk memastikan Kerajaan telus dan bertanggungjawab adalah dengan memastikan Parlimen dapat bersidang semula secepat mungkin. Persidangan Parlimen akan membolehkan semua Ahli Parlimen backbencher meminta penjelasan terperinci dari menteri-menteri yang jelas telah gagal.
Persidangan Parlimen juga akan memberi peluang kepada semua Ahli Parlimen untuk mencadangkan dasar yang lebih baik dan membolehkan semua Jawatankuasa Pilihan Khas beroperasi.

Dengan perkara di atas, dan sebagai jawapan kepada saranan Menteri Undang-Undang agar persidangan Parlimen hibrid boleh dipertimbangkan, saya selaku Ketua Whip KEADILAN, telah mengarahkan semua Ahli Parlimen KEADILAN untuk mula bersiap sedia untuk persidangan Parlimen. Saya percaya dan sangat berharap agar Parlimen dapat bersidang semula lebih awal dari bulan Ogos.

Pejabat saya telah mula mengatur perbincangan dasar melalui aplikasi Zoom dengan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN. Pada hari ini, kami telah mengadakan sesi pertama dengan taklimat mengenai keadaan pandemik serta ekonomi negara, yang dibentang oleh YB Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng) dan YB Wong Chen (Ahli Parlimen Subang). Taklimat dan sesi soal jawab tersebut telah mengambil masa satu jam dan selepas itu kami juga telah mengadakan sesi perbincangan dasar terbuka lebih sejam yang menyentuh pelbagai topik.

Sesi taklimat seterusnya akan memberi tumpuan kepada dasar pendidikan serta luar negeri. Secara keseluruhannya, KEADILAN telah merancangkan lima sesi dalam tempoh masa 10 hari, dan jika perlu, jadual ini boleh dipercepat. Semua Jurucakap Parlimen KEADILAN ditugaskan untuk meneliti dan berkongsi data dan dasar serta memimpin perbincangan-perbincangan dasar. Akhir sekali, saya ingin meyakinkan rakyat bahawa semua Ahli Parlimen KEADILAN akan cukup bersedia untuk persidangan Parlimen seawal minggu ketiga Jun 2021.

YB Dato’ Johari Abdul
Ahli Parlimen Sungai Petani
Ketua Whip KEADILAN


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *