Carian
March 15, 2021

KEADILAN Johor Tawar Khidmat Guaman Percuma

Bermula 11 Mac 2021, kerajaan telah kuatkuasakan suatu hukuman berat iaitu kompaun berjumlah RM10,000 hingga RM100,000 dan penjara maksimum 7 tahun sekiranya rakyat ingkar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19.

Tidak menjadi kesalahan apabila kerajaan menguatkuasakan sesuatu hukuman bertujuan mendidik rakyat agar mereka patuh kepada undang-undang, tetapi kerajaan juga perlu mengambil kira keadaan semasa rakyat yang terhimpit dengan masalah ekonomi seperti kehilangan kerja, pendapatan dipotong atau perniagaan merosot kesan daripada pandemik Covid 19. Sudah tentu nilai RM10,000 besar buat mereka untuk teruskan kehidupan.

Saya berpandangan, lebih molek jika kerajaan melaksanakan kompaun yang dinaikkan secara berperingkat. Contohnya, kesalahan pertama RM1,000, kesalahan kedua RM3,000, kesalahan ketiga RM5,000 dan kesalahan seterusnya RM10,000.

Selain itu, kerajaan wajib bersikap adil dan tidak memilih kasih atau membezakan darjat antara hukuman kepada rakyat biasa dengan wakil rakyat kerajaan. Jika rakyat dikenakan kompaun RM10,000 maka Menteri juga patut dikompaun dengan jumlah yang sama. Tolong jangan ulangi peristiwa dimana ‘Makcik Gelang Pink’ dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM8,000 tetapi Khairuddin, Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi cuma didenda RM1,000. Walhal keduanya melakukan kesalahan yang sama iaitu ingkar arahan kuarantin.

Justeru, demi memastikan nasib rakyat terbela, saya dan pasukan peguam dari Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor menawarkan khidmat guaman pro-bono (percuma) kepada semua rakyat negeri Johor yang dikompaun dibawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

YB JIMMY PUAH WEE TSE
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor,
ADUN Bukit Batu

Related Posts
crossmenuchevron-up