Carian
December 6, 2021

KEADILAN Sarawak Akan Terus Memperjuangkan Apirasi Rakyat

Majlis Pimpinan Negeri dan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat ingin merakam setinggi-tinggi terima kasih kepada semua ahli akar umbi parti serta cabang di seluruh Sarawak yang telah bertungkus lumus untuk membuat persiapan terbaik demi menghadapi PRU DUN Sarawak Ke-12. Pimpinan parti memahami bahawa akar umbi telah banyak berkorban dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan untuk rakyat Sarawak dan segala pengorbanan itu amat dihargai.

Walaubagaimanapun, kami sedia maklum bahawa PRU DUN Sarawak in sangat mencabar buat semua pihak oleh kerana pandemik COVID-19 yang telah membawa kesan yang sangat mendalam kepada seluruh masyarakat, lebih-lebih lagi rakyat Sarawak. Dari awal lagi kami telah memberi amaran kepada Kerajaan GPS bahawa mengadakan PRU DUN Sarawak-12 pada waktu jegala COVID-19 masih merebak bukan pilihan yang berjiwa rakyat.

Kami juga telah memberikan peringatan tegas kepada Kerajaan GPS bahawa mengadakan PRU DUN Sarawak hanya 12 hari sebelum Undi-18 menjadi kenyataan pada 1 Januari 2022 bukan satu langkah yang adil kerana ramai anak muda yang akan kehilangan peluang untuk mengundi. Walaubagaimanapun, kami akan terus memperjuangkan nasib rakyat dan melawan tindakan GPS sebagai kerajaan yang gagal membawa kemajuan dan kemakmuran yang adil dan saksama buat seluruh rakyat Sarawak, khasnya penduduk luar bandar.

Pihak pimpinan ingin mengucapkan tahniah kepada kesemua 28 calon yang akan berjuang di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat pada PRU DUN Sarawak kali ini. Kami turut memahami rasa kecewa di beberapa kawasan yang tidak ditandingi pada kali ini, namun keputusan telah diambil oleh parti di atas dasar strategik memandangkan kami ingin mengelakkan pertembungan kerusi penjuru 3, isu logistik dan SOP yang ketat disebabkan pandemik COVID-19 yang sangat menyekat kempen di lapangan.

Kami sedia maklum bahawa kempen melalui talian sangat sukar di kebanyakan kerusi luar bandar oleh kerana liputan jaringan internet yang tidak memuaskan.Namun demikian, kami sangat berharap bahawa semua ahli parti dan penyokong akan terus memberi kerjasama penuh kepada 28 orang calon ini untuk meraihkan kemenangan dan menolak GPS di kawasan masing-masing.

Tema manifesto KEADILAN Sarawak kali ini adalah ‘Makmur Bersama KEADILAN’. Aspirasi KEADILAN adalah untuk ‘Mengangkat Martabat Sarawak, Menjulang Taraf Rakyat’. Sarawak cukup kaya dengan sejarah yang ulung, kepelbagaian kaum, budaya, agama dan sumber alam yang luar biasa.

Keindahan dan keunikan Sarawak dikagumi seluruh dunia. Sarawak mempunyai rakyat yang mengamalkan sikap kemasyarakatan dan saling menghormati yang dapat dijadikan teladan buat seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat Sarawak mempunyai tekad dan iltizam yang kuat untuk memperbaiki taraf hidup dan membina masa depan yang maju, makmur dan sejahtera untuk anak-anak dan cucu-cucu kita. Semangat pahlawan moyang dan keberanian rakyat Sarawak membela nasib kaum dan tanah pusaka masih terus bersinar bagaikan api menerangi kegelapan.

Walaubagaimanapun selama lebih daripada 5 dekad, kekayaan dan kemakmuran Sarawak telah dibolot dan dirampas oleh segelintir golongan pemimpin elit dan kroni. Ramai pemimpin yang mempunyai kekayaan yang terlalu besar dan hidup sangat mewah, sementara ramai rakyat Sarawak masih hidup dalam kemiskinan dan menderita. Kekayaan Sarawak tidak digunakan dengan cekap, telus, adil dan amanah untuk membangunkan Sarawak dengan sama rata dan memastikan kemajuan dan kemakmuran dikongsi bersama.

Oleh kerana itu, KEADILAN akan terus memperjuangkan apirasi rakyat untuk memastikan semua rakyat mempunyai akses kepada sistem kesihatan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang mantap dan infrastruktur asas seperti air, elektrik, internet dan jalanraya yang selamat. KEADILAN akan berusaha untuk memastikan pengembalian status Sabah dan Sarawak berteraskan perjanjian Malaysia 1963, selari dengan aspirasi majoriti besar rakyat Sarawak untuk menuntut keadilan untuk Sarawak.

KEADILAN akan membawa reformasi dan transformasi yang menyeluruh demi memastikan kemajuan dan kemakmuran dikongsi bersama semua rakyat Sarawak.

KEADILAN untuk Sarawak, KEADILAN untuk Semua

Related Posts
crossmenuchevron-up