Carian
March 29, 2021

KEADILAN: Undi 18 Mesti Dilaksana Sekarang

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN telah mengadakan mesyuarat bulanan pada hari ini dan telah membincangkan beberapa perkara seperti berikut:

MPP tidak boleh menerima keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18. MPP mengambil pendirian tegas bahawa Undi 18 mesti dilaksana sekarang.

MPP telah bersetuju untuk mewujudkan satu struktur di bawah parti khusus untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memperjuangkan isu-isu yang melibatkan golongan OKU.

MPP amat risau dengan beberapa laporan media yang berkata wujudnya ‘kartel’ di kalangan pegawai polis yang dipercayai berniat menjatuhkan Ketua Polis Negara. Hal ini perlu ditangani dengan tegas, dan MPP bersama Presiden KEADILAN untuk menyokong segala usaha menghapuskan ‘kartel’ tersebut kerana ia menyumbangkan kepada terjejasnya integriti dan kewibawaan institusi PDRM.

MPP telah dimaklumkan berkenaan pertemuan Presiden KEADILAN bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22hb Mac yang lalu. MPP menimbulkan rasa amat risau sekiranya SPRM terus mempunyai persepsi umum bahawa ia ‘senjata politik’ sesetengah pihak, dan perkara ini harus diperbetul.

Bagi aspek ekonomi, MPP membincangkan isu pengangguran terutama di kalangan anak muda yang dipercayai berada pada tahap 13.2%, atau sekitar dua setengah kali ganda kadar pengangguran nasional. Kadar keterlibatan wanita di dalam pasaran kerja juga dipercayai telah berkurang 0.5% kepada 55.1%. Keadaan ini amat membimbangkan dan KEADILAN akan merangka beberapa dasar bagi mengatasi isu pengangguran anak muda dan keterlibatan wanita ini.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up