Carian
June 20, 2021

Keengganan Memanggil Sidang Parlimen Satu Salah Guna Kuasa

Keengganan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kabinet untuk memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera sepertimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu adalah satu salah guna kuasa.

Tiada alasan munasabah dalam menolak memanggil sidang Parlimen segera. Alasan melengahkan persidangan Parlimen sehingga bulan September tidak boleh diterima sama sekali. Ia adalah satu tektik melengah-lengahkan yang merupakan satu penolakan salah.

Ini adalah kerana kesemua 220 Ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen telah menerima vaksin. Maka, tiada lagi bahaya jangkitan Covid-19.

Penolakan kabinet untuk memanggil sidang Parlimen adalah satu tindakan menghalang Parlimen menjalankan tugas sah membincangkan perbelanjaan kerajaan berkaitan isu pandemik COVID-19, program pemulihan ekonomi dan proses vaksinasi.

Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perdana Menteri dan kabinetnya mempunyai tanggungjawab bersama terhadap Parlimen. Prinsip tanggungjawab bersama Perdana Menteri dan kabinetnya dan akauntabiliti terhadap Parlimen merupakan perkara asas Perlembagaan Persekutuan. Keengganan kabinet memanggil sidang Parlimen dengan segera merendah-rendahkan prinsip akauntabiliti terhadap Parlimen.

Perdana Menteri dan kabinet perlu bersikap akauntabiliti terhadap Parlimen di mana mereka tertakluk kepada pemeriksaan dan soal selidik oleh wakil rakyat. Badan eksekutif perlu melaporkan, menjelaskan dan mempertahankan segala tindakan mereka di Parlimen dan dengan cara ini, rakyat dilindungi daripada salah guna kuasa oleh badan eksekutif.

Semakin lama Parlimen digantung, semakin besar risiko wujudnya kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI

Ahli Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan:
YB William Leong Jee Keen (KEADILAN, Selayang)
YB Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH, Sepang)
YB Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh (DAP, Bukit Gelugor)
YB Sivarasa Rasiah (KEADILAN, Sungai Buloh)
YB Muhammad Faiz Fadzil (AMANAH, Permatang Pasir)
YBhg Fadhlina Sidek (KEADILAN)
YBhg Dr Zulqarnain Lukman (AMANAH)

Related Posts
crossmenuchevron-up