Carian
June 9, 2021

Kelewatan Perlantikan Naib Canselor di Universiti-Universiti Awam Bukti Kegagalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)

1. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) mengambil maklum gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang menggesa Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT) agar segera membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan naib canselor di lima buah universiti awam negara yang kosong sejak awal tahun.

2. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) juga bersetuju dengan pandangan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin bahawa kelewatan kerajaan
membuat lantikan baharu untuk mengisi kekosongan jawatan terbabit boleh menjejaskan operasi pentadbiran sekali gus menjejaskan hala tuju universiti tersebut bagi melaksanakan visi dan misi universiti masing-masing.

3. Lima universiti awam tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Bagi UPSI, tarikh kekosongan jawatan Naib Canselornya ialah semenjak 7 Feb 21; bagi UiTM pula ialah semenjak 10 Mac; manakala UniMAP pula ialah 27 Mac; dan UMT ialah pada 12 April. Bagi UPM ianya lebih menarik kerana Naib Canselornya telah diarahkan bercuti mulai 18 Februari yang sepatutnya pada tempoh asalnya ialah sebulan sahaja, tetapi telah disambung tanpa had sehingga kini.

4. Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) juga mengambil maklum jawapan KPT kepada kenyataan Cuepacs dan alasan-alasan yang dikemukakan. Walaupun KPT memberikan
alasan bahawa proses yang teliti dan professional menyebabkan kelewatan, malangnya ianya tidak berlaku sebelum ini kepada penggantian Naib Canselor di beberapa universiti sebelum ini yang telah berlangsung dengan kadar segera tanpa kelewatan melampau. Ternyata alasan yang dikemukakan hanya merupakan helah dengan berselindung di sebalik SOP yang ada.

5. YB Menteri Pengajian Tinggi harus mengambil tanggungjawab penuh kegagalan ini kerana Jadual Pertama Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) yang menjadi sebahagian peruntukan Perlembagaan Universiti menerusi lunas Seksyen 8(1), Akta 30 memberi kuasa penuh kepada Menteri untuk melantik Naib Canselor. Kuasa yang sama juga telah diberikan oleh Seksyen 20 Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) kepada Menteri untuk melantik Naib Canselor UiTM.

6. Seperti yang diketahui umum, kes pemberhentian Naib Canselor UiTM dan UniMAP secara tiba-tiba adalah begitu pelik dan telah mengundang banyak spekulasi. Apa yang pasti banyakn pihak dalaman yang mengatakan bahawa ianya lebih bermotifkan politik. Apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah penamatan tersebut tidak diberikan sebab dan tidak ada pelan penggantian dalam perancangan KPT sebelum penamatan dibuat. Mengapakah ditamatkan perkhidmatan Naib Canselor - Naib Canselor tersebut sebelum tempohnya dan tanpa perancangan teliti untuk penggantiannya? Penamatan sebelum tempoh juga dibuat dalam keadaan di mana kedua-dua universiti iaitu UiTM dan UniMAP sedang ditadbir dengan baik dan menerima sokongan warga kampus secara keseluruhanya.

7. Melihat kepada kes UMT dan UPSI, kita telah maklum bahawa iklan telahpun dikeluarkan untuk pemilihan pencalonan, namun selepas beberapa bulan hingga kini, kedua-dua universiti tersebut masih belum mempunyai Naib Canselor. Malah untuk UMT, KPT telah mengambil masa lebih setahun untuk mencari pengganti mantan NC yang disambung setahun dari April 2020 hingga April 2021. Bagi kes UPM pula, keadaan seakan tergantung tanpa apa-apa penyelesaian dan tiada pula proses pencarian untuk NC baharu.

8. Perlu diketahui, amalan biasa ialah mana-mana kekosongan Naib Canselor, ianya akan disandang buat sementara waktu oleh salah seorang Timbalan Naib Canselor (TNC) yangdipilih. Mana-mana TNC yg ditugaskan menjalankan fungsi bolehlah bertindak sebagai NC tetapi ia masih tidak sama kerana mereka hanya akan menjalankan tugas rutin sahaja untuk sementara dan tidak akan merancang apa-apa strategi besar atau baru untuk universiti. Hakikatnya, mereka juga masih ada portfolio sendiri yang perlu dijalankan di samping tugas sementara yang disandang.

9. Proses pemilihan biasanya segera dilakukan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) selepas penamatan dan penamaan calon masing- masing akan diserahkan kepada KPT. Di
peringkat KPT, sewaktu pentadbiran PH, proses selanjutnya ialah proses pemilihan atau temuduga oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor (JKTPNC) yang dianggotai oleh golongan profesional dan tiada kepentingan. Setelah itu, YB Menteri akan memuktamadkanperlantikan.

Proses ini tidak akan memakan masa yang lama sehingga berbulan-bulan seperti yang didakwa oleh KPT di dalam jawapannya kepada Cuepecs. Malah selama ini pun proses
yang sama digunakan dan tidak pula mengambil masa yang terlalu lama dan di banyak universiti seperti yang berlaku sekarang ini. Kelewatan yang berlaku ini adalah di luar kebiasaan lebih-lebih lagi di zaman wabak Covid-19 di mana kepimpinan universiti amat diperlukan danamat mendesak!

10. Selain isu pelantikan NC untuk empat universiti yang telah disebutkan, dan kes UPM yang terbiar, banyak jawatan Timbalan Naib Canselor (TNC) di Universiti Awam (UA) juga tidak dilantik. Aduan yang kami terima ialah UTM sebagai contoh, di mana jawatan TNC Akademik dan Antarabangsa (TNCAA) UTM belum dilantik melebihi 15 bulan. Kes lain juga ialah TNC Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, TNCAA UMS dan TNCHEPA UTHM juga belum dibuat pelantikan sejak beberapa bulan.

11. Keputusan-keputusan ini memerlukan kepimpinan dan juga sifat kebertanggungjawaban di pihak Menteri lebih-lebih lagi di kala wabak Covid-19 melanda. Masalah ini dan banyak masalah lain yang timbul dalam pendidikan tinggi semenjak PN mengambil tampuk kuasa timbul ialah kerana YB Menteri sibuk berpolitik dan membuat keputusan politik tanpa perancangan yangteliti.

Menteri juga dilihat lemah, tidak fokus dan tidak berpendirian dalam membuat keputusan yang terbaik untuk universiti. Jika dibiarkan keadaan seperti ini, masa depan UA berada dalam keadaan yang amat bahaya dan meruncing. Dampak Covid-19 juga telah menyebabkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) terutamanya berada dalam keadaan ketidak tentuan dan tiada hala huju. Kepincangan kepimpinan daripada pihak Menteri pula menambahkan lagi parah yang dihadapi oleh sektor pendidikan tinggi mutakhir ini.

12. Jawatankuasa Pendidikan PH mencadangkan Menteri agar menubuhkan segera Majlis Pendidikan Tinggi untuk mengendalikan keadaan pendidikan tinggi berdasarkan Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 (Akta 546). Hal ini pernah dibawa oleh Menteri Pendidikan di zaman PH, tetapi tidak dapat diteruskan kerana pertukaran kerajaan.
Kewujudan Majlis ini akan lebih menjamin memberikan ruang untuk Pendidikan Tinggi menentukan halatujunya oleh golongan professional dan meminimumkan kesan politik terhadap perjalanan dan masa depan pendidikan tinggi negara. Ia juga mampu untuk membendung apa jua kelemahan kepimpinan dari pihak eksekutif.

13. Jawatankuasa Pendidikan PH juga mencadangkan jika Menteri KPT berterusan tidak mampu menentukan halatuju dan memacu kementerian yang penting ini, supaya melepaskan jawatan beliau agar ianya boleh diberikan kepada mereka yang lebih memahami hala tuju dan keadaan di IPTA dan IPTS.

 

YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan

YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Teo Nie Ching, Democratic Action Party (DAP)

YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Natrah binti Ismail, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Steven Sim Chee Keong, Democratic Action Party (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up