Carian
October 11, 2021

Kenyataan Media Jawatankuasa Kesihatan PH Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia

Mental Sihat, Masyarakat Kuat, Negara Hebat Semalam adalah Hari Kesihatan Mental Sedunia. Di peringkat global temanya adalah Mental Health In an Unequal World, Kesihatan Mental dalam dunia yang tidak seimbang.Pembinaan sebuah negara yang maju dan makmur memerlukan rakyatnya yang sihat dan kuat termasuk sihat pemikiran dan mentalnya.

Namun dianggarkan satu dalam tiga atau tepatnya 29.2% dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 menunjukkan Rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah gangguan mental. Hampir setengah juta rakyat di negara didapati mengalami simptom tekanan atau depresi, menurut Tinjauan serupa pada tahun 2019.
Pandemik Covid19 dan krisis sosio ekonomi yang menyusul selepasnya menjadikan keadaan kesihatan mental negara kita bertambah parah.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Perubahan Tingkah Laku Malaysia (IPTK) pada tahun 2020 mendapati bahawa 14.2 peratus petugas barisan hadapan KKM mengalami gangguan kesihatan mental yang teruk (severe mental disorders). Bagaimana pula keadaannya bagi anggota masyarakat.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) merekodkan lebih daripada dua kali ganda pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan tekanan perasaan sepanjang tahun 2020 dibandingkan pada tahun 2019.

Talian Bantuan Psikososial KKM juga merekodkan 223 990 panggilan dengan 80.8 peratus memerlukan bantuan sokongan emosi dan kaunseling. Begitu dilaporkan Timbalan Menteri Kesihatan di Dewan Negara baru-baru iniKemuncak kepada tekanan mental ini apabila ada yang bertindak di luar kawalan meragut nyawa sendiri.

Terlalu berat bagi kita melihat angka bunuh diri yang direkodkan PDRM iaitu sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143% atau 1.4 kali lebih banyak. Purata kita kehilangan tiga nyawa rakyat Malaysia sehari akibat bunuh diri. Berapa banyak lagi angka kematian yang mahu kita lihat sebelum kita sebagai sebuah negara berbuat sesuatu dengan lebih drastik.

Ironinya, walaupun kesihatan mental rakyat Malaysia kian merudum, bilangan pakar kesihatan mental, terutamanya dalam perkhidmatan awam belum mencukupi. Data menunjukkan terdapat 500 pakar psikiatri di negara ini dengan nisbah seorang pakar psikiatri kepada 100,000 penduduk. Ini jauh lebih rendah daripada nisbah disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) antara satu hingga 10,000. Bilangan pegawai psikologi kaunseling dalam negara juga masih tidak mencukupi iaitu dengan nisbah kaunselor kepada individu adalah 1:52,000, sedangkan nisbah yang diharapkan adalah 1:500.

Kemudahan mendapatkan bantuan perubatan juga menjadi masalah. Kawasan pedalaman kurang mendapat bantuan kesihatan mental berbanding dengan kawasan bandar.

Dalam keadaan situasi yang parah sebegini Belanjawan 2021 memberi peruntukan RM 24 juta yang amat sederhana bagi menangani isu kesihatan mental melalui pengukuhan program kesihatan mental, pencegahan keganasan dan kecederaan serta penyalahgunaan substansi. Persoalannya cukupkah peruntukan seperti ini bagi menangani masalah besar yang membabitkan kesejahteraan mental rakyat.

Jika kita tidak menambah pelaburan dalam kesihatan mental sekarang, akibat negatif pada keadaan ekonomi, sosial dan kesihatan akan lama dan merebak dengan bahayanya. Tidak ramai orang sedar bahawa bagi setiap pelaburan RM 1 untuk kecelaruan mental yang sering ditemui seperti kemurungan dan kebimbangan, pulangan RM 5 dapat dikecapi dalam bentuk kesihatan dan produktiviti.

Di sisi yang lain sungguh meruntun jiwa melihat masih ada lagi rakyat yang terjejas mental mereka berkeliaran tanpa tujuan sehingga membahayakan diri mereka dan orang awam lainnya. Pihak berkuasa tempatan mesti mengambil tanggungjawab mengurus dan menjaga kebajikan mereka dengan kerjasama pelbagai jabatan.

Antara perkara yang paling menghambat dalam menangani gejala penyakit mental adalah cubaan bunuh diri masih dikira sebagai satu jenayah dalam negara kita. Mana mungkin kita boleh membantu mereka dengan rahmah sekiranya mereka dianggap sebagai penjenayah. Undang-undang ini mesti dihapuskan. Usaha dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri dengan pindaan/pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah mesti dilaksanakan.

Justeru sempena Hari Kesihatan Mental sedunia Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan percaya bahawa pendekatan holistik membabitkan semua pihak mesti diambil Kerajaan bagi menghadapi cabaran kesihatan mental di negara kita.

Kami mendesak agar pihak Kerajaan Malaysia melalui kementerian berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan Kesihatan Mental merangkumi semua aspek pencegahan dan perawatan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan mental rakyat Malaysia.

Pelan Integrasi ini haruslah melibatkan semua yang terbabit dari pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan dan diberi peruntukan yang munasabah untuk kesejahteraan dan kesihatan mental awam mengikut piawaian antarabangsa. Gabungan Kesejahteraan Mental Kebangsaan yang dimulakan oleh badan-badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan golongan profesional adalah satu usaha yang yang terpuji yang harus disokong oleh semua kementerian dan agensi-agensi kebangsaan dalam menangani agenda kesihatan mental.

Setiap daripada kita juga mestilah meningkatkan keprihatinan dan empati kepada orang yang tersayang di sekeliling kita dengan memberi bantuan dan sokongan yang diperlukan di saat sukar ini.
Semoga kita dapat merealisasikan cita-cita menjadikan Malaysia sebuah Negara yang Adil, Beramanah dan Rahmah untuk semua warganya.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan :-
YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor, AMANAH)
b)YB Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng, KEADILAN)
c)YB Dr Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi, DAP)
d)YB Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Ahli Parlimen Lumut, AMANAH)
e)YB Dr Kelvin Yil (Ahli Parlimen Bandar Kuching, DAP)
f)YB Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru, KEADILAN)
g)YB Alice Lau (Ahli Parlimen Lanang, DAP)
h)YB Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kerajaan Negeri Selangor)
i)YB Dr Norlela Ariffin (Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang)
j)YB Veerapan Supramaniam (Exco Kerajaan Negeri Sembilan)
k)Ybhg Dr Hafidzah Mustakim (AWAN, AMANAH)
l)Ybhg Dr Zaliha Mustafa (MPP, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up