Carian
July 9, 2021

Kenyataan Peguam Negara Bercanggah Dengan Perlembagaan

Peguam Negara adalah silap apabila beliau menyatakan bahawa setiap Ahli Parlimen UMNO perlu menyatakan pendirian secara individu bahawa beliau telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri; dan sehingga berlaku keadaan sedemikian Tan Sri Muhyiddin dan Kabinetnya masih berhak untuk menggunakan kuasa eksekutif mereka.

Kenyataan Peguam Negara bahawa bukan hak UMNO atau presidennya bagi menyatakan Ahli Parlimen UMNO telah kehilangan kepercayaan terhadap Perdana Menteri telah gagal menjelaskan hakikat pelantikan Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sebagai Perdana Menteri adalah berdasarkan representasi pemimpin parti kepada Yang diPertuan Agong dan bukannya oleh Ahli Parlimen secara individu.

Tambahan lagi, penentuan tentang hilangnya kepercayaan terhadap Perdana Menteri tidak hanya perlu diputuskan dengan undi tidak percaya di dalam Parlimen sahaja. Penentuan ini boleh juga dibuat melalui bukti-bukti lain di luar Parlimen. Inilah prinsip undang-undang yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin lwn Dato Seri Zambri bin Abdul Kadir (Peguam Negara sebagai pencelah) [2010] 2 MLJ 285 perenggan 48.

Kenyataan Presiden UMNO, Zahid Hamidi bahawa partinya menarik sokongannya terhadap Tan Sri Muhyiddin - kerajaan Perikatan Nasional adalah bukti yang menunjukkan dengan jelas bahawa PM telah hilang sokongan majoriti anggota Parlimen.

Dalam keadaan sedemikian, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan dan mengundurkan diri daripada Kabinet kecuali jika beliau memohon kepada Yang diPertuan Agong untuk membubarkan Parlimen menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Jikalau Tan Sri Muhyiddin gagal meletakkan jawatan, Yang diPertuan Agong boleh mengarahkan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang parlimen segera tanpa menunggu tarikh 26 haribulan untuk mengemukakan usul percaya bagi membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, Yang diPertuan Agong berhak memecatnya dan melantik anggota parlimen lain yang mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.

Jawatankuasa ini sepakat dengan pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan bahawa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil harus dielakkan pada masa ini kerana kes COVID-19 masih tinggi di negara ini.

MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI

Ahli Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan:
YB William Leong Jee Keen (KEADILAN, Selayang)
YB Mohamed Hanipa Maidin (AMANAH, Sepang)
YB Ramkarpal Singh A/L Karpal Singh (DAP, Bukit Gelugor)
YB Sivarasa Rasiah (KEADILAN, Sungai Buloh)
YB Muhammad Faiz Fadzil (AMANAH, Permatang Pasir)
YBhg Fadhlina Sidek (KEADILAN)
YBhg Dr Zulqarnain Lukman (AMANAH)

Related Posts
crossmenuchevron-up