Carian
October 12, 2022

Kerakusan Pimpinan UMNO, Sanggup Risikokan Kehidupan Rakyat!

Kita ambil maklum kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan "tamak kuasa" kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Namun, ini seumpama Zahid meludah ke muka sendiri kerana hari ini rakyat melihat UMNO "tamak kuasa" kerana gopoh membubarkan Dewan Rakyat selain memaksa negeri-negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri ketika negara berdepan musim tengkujuh dan banjir.

Malah rakyat juga melihat ini sebagai usaha Zahid untuk berkuasa penuh jika menang pilihanraya dan cuba melepaskan diri dari kes mahkamah yang beliau hadapi hari ini.

Pakatan Harapan akan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih tanpa meletakkan rakyat dalam situasi bahaya seperti banjir dan hujan lebat.

Dalam isu ini Pakatan Harapan tidak boleh dipersalahkan kerana perkara ini telah diputuskan lebih awal pada 5 Oktober lalu bahawa negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan hanya akan dibubar pada 2023 bagi membolehkan kerajaan tiga negeri ini menumpukan usaha bantuan banjir.

Apa pula reaksi Zahid selepas rakan baik beliau sendiri iaitu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengumumkan Kelantan, Terengganu dan Kedah turut tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri? Adakah Zahid tidak berani untuk berkata bahawa PAS "tamak kuasa"?

Jika Zahid memikirkan soal pembaziran, beliau tidak sepatutnya memaksa dan mengugut Perdana Menteri sebelum ini untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihanraya. Dari membelanjakan lebih satu bilion ringgit untuk sebuah pilihanraya adalah lebih baik ianya digunakan untuk tujuan lain mendepani bencana banjir.

Mengapa Zahid tidak bercakap soal pembaziran di beberapa Pilihanraya negeri? Bukankah PRN Johor diadakan kerana UMNO "tamak kuasa" walaupun pembangkang memberikan komitmen membantu kerajaan negeri dalam berdepan pandemik. Bagaimana pula soal UMNO guling UMNO sehingga terjadinya PRN Melaka?

Zahid Hamidi juga tidak layak bercakap soal mandat rakyat bila parti beliau sendiri menjadi kerajaan bukan melalui mandat rakyat sebaliknya melalui pintu belakang.

Akmal Nasir

Pengarah Strategi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up