Komen “Abang Besar” Memberi Kesan Besar Terhadap Malaysia

Komen “Abang Besar” Memberi Kesan Besar Terhadap Malaysia

Kerajaan Perikatan Nasional tampaknya telah tersalah langkah dalam banyak hal penting negara, dan kadarnya terus memuncak naik. Tanpa pengimbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif, keadaan nampaknya akan terus parah, dan terbaru membawa marabahaya pada kedaulatan negara.

Komen ‘abang besar’ Menteri Luar pada hari Jumaat yang lalu telah memberi kesan yang bukan kecil pada kebijakan luar negara terkait hubungan Malaysia dan Republik Rakyat China. Pemerintah hari ini secara tidak langsung telah memberi mesej yang jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.

Percubaan Menteri Luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet PN ini mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan juga China.

Dunia tahu bahawa kerajaan hari ini tidak ada keabsahan demokratik untuk memerintah. Negara-negara sekutu mahupun seteru, baik para diplomat atau pun pemuka-pemuka korporat, mungkin sedang mencuba menggunakan kelemahan pemerintah hari ini sebagai kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dalam keterlibatan mereka dengan Malaysia. Hal ini mampu memberi kesan yang mendalam pada kedudukan diplomatik Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Sistem demokratik di Malaysia menggunapakai sistem Westminster. Justeru, Perdana Menteri yang telah hilang majoriti harus segera berundur dan serahkan sepenuhnya pada proses Perlembagaan. Sebaliknya, Perdana Menteri hari ini telah menyalahguna Pengisytiharan Darurat, dan dalam masa yang sama terus merencana untuk berpaut pada kuasa.

Melihatkan keadaan PN yang terumbang ambing hari ini, kita bimbang segala keputusan yang dibuat hanya untuk terus menjamin kelangsungan kuasa, dan ia berpotensi akan mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara.

ANWAR IBRAHIM


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/html/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *