Carian
March 5, 2021

Lindungi Whistleblower Bukan Memberi Tekanan

Kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia yang melarang petugas kesihatan daripada membuat penyataan awam tanpa kebenaran dilihat sebagai usaha menyekat rakyat daripada mengetahui perkara sebenar yang berlaku dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Walaupun dinyatakan bahawa arahan ini bukanlah bertujuan menyekat mana-mana pegawai untuk bersuara, namun secara tidak langsung pasti akan menimbulkan kegusaran dan memberi tekanan kepada pemberi maklumat (whistleblower) untuk mendedahkan kepincangan serta ketirisan dalam tindakan yang digerakkan kerajaan.

Kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan biasanya telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada YB Menteri Kesihatan dilihat seperti bertentangan dengan sikap terbuka YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Pada 28 Februari 2021, beliau telah menyeru agar lebih ramai whistleblower tampil mendedahkan jika terdapat sebarang usaha memotong giliran mendapatkan vaksin.

Penegasan YB Khairy Jamaluddin yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sewajarnya diraikan bersama dengan pendekatan susulan yang selari dengan seruan tersebut agar rakyat berasa yakin bahawa usaha vaksinasi ini dilaksanakan secara adil, telus dan penuh bertanggungjawab.

Apabila terdapat petugas kesihatan yang memilih untuk membuat kenyataan umum dengan disertai lampiran bukti-bukti tanpa mendedahkan identiti mereka, ini merupakan satu isyarat bahawa mereka tidak yakin terhadap keberkesanan kerajaan dalam melindungi identiti mereka yang membuat pendedahan.

Oleh itu, Kerajaan digesa mengambil sikap lebih terbuka dan inklusif terhadap whistleblower serta proaktif dalam melindungi identiti mereka yang juga merupakan petugas barisan hadapan. Sebagai petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus lebih setahun bagi mengekang penularan wabak ini, sudah pasti mereka lebih sensitif terhadap sebarang tindakan yang bertentangan dengan nilai dan etika.

Sehubungan itu, sebarang kenyataan yang berbaur amaran atau gertakan sebegini amat tidak membantu kepada usaha mengekang ketirisan dalam pelaksanaan program vaksinasi ini. Teguran petugas kesihatan melalui saluran mana sekali pun perlu diberi perhatian dan disusuli dengan siasatan yang adil, ini juga merupakan suatu penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah memberikan komitmen baik selama ini.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up