Malaysia Sukar Jatuh Ke Tangan Diktator

Malaysia Sukar Jatuh Ke Tangan Diktator

Atas titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Istana Negara akan menganjurkan sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun 2021. Perbincangan khas tersebut adalah inisiatif baginda dan akan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan ini menarik. Ia menunjukkan pemimpin politik awam yang berkuasa dengan cara melalui pintu belakang atau tebuk atap tidak mudah untuk menjadi seorang diktator dengan menggunakan helah proklamasi darurat.

Kuasa politik di Malaysia tidak berada sepenuhnya di tangan ahli-ahli politik profesional atau ahli-ahli parlimen. Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Apa yang berlaku sekarang bukannya satu krisis perlembagaan. Ini menunjukkan institusi Raja-Raja Melayu tampil ke depan untuk menyelamatkan negara pada ketika menghadapi krisis kesihatan awam yang parah dan memburuk mengancam nyawa rakyat.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mungkin tidak campur tangan sekiranya kerajaan yang memerintah adalah sebuah kerajaan yang mempunyai mandat rakyat, sebuah kerajaan yang jelas sokongan kepercayaan di Parlimen dan sebuah kerajaan yang cekap dan tidak gagal.Beberapa Raja dan Sultan telah bersuara menzahirkan rasa tidak puas hati tentang perlaksanaan PKP yang tidak berkesan dan program vaksinasi yang terlalu perlahan.

Tidak pada semua masa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak dengan terlebih dahulu mendapat nasihat Perdana Menteri atau Jemmah Kabinet di bawah Fasal (1) Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Malahan, dalam Fasal (2)(c) Perkara 40 Perlembagaan dinyatakan dengan jelas peruntukan di mana Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya.

Secara jujur perlu dinyatakan. Penulis bukanlah seorang peminat institusi Feudalisme. Tetapi penulis menentang keras institusi kediktatoran yang anti-demokrasi.

Peruntukan Perlembagaan seperti Fasal (2)(c) Perkara 40 itu amat membantu Malaysia yang demokratik ini tidak mudah jatuh ke tangan mana-mana Perdana Menteri yang mabuk kuasa untuk menjadi seorang diktator.

Usaha Yang di-Pertuan Agong memanggil pemimpin-pemimpin politik ke Istana Negara bermula hari ini 9 Jun sehingga 11 Jun nanti dan diikuti dengan Sesi Perbincangan Khas Raja-raja Melayu pada 16 Jun dibuat tanpa perlu merujuk dan mendapatkan nasihat dari Perdana Menteri atau Jemaah Kabinet terlebih dahulu adalah satu isyarat jelas kepada Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin bahawa tempoh anda berkuasa sudah boleh dibilang harinya untuk tamat.

Kerajaan PN tanpa mandat sah dari rakyat melalui Pilihanraya Umum tidak boleh selamanya berkuasa seakan beraja di mata dan bersultan di hati. Masa sudah sampai untuk anda bermuhasabah diri, mengundur diri dan serah semula kuasa kepada rakyat negara ini. Rakyat menolak Kerajaan Diktator.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang


Notice: compact(): Undefined variable: limits in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Notice: compact(): Undefined variable: groupby in /var/www/keadilanrakyat.org/wp-includes/class-wp-comment-query.php on line 863

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *