Carian
May 16, 2022

Mana 5G Kepada Rakyat Selepas 3 Tahun Menunggu?

Saya merujuk kepada perkembangan pembangunan (roll-out) 5G yang telah dilambat-lambatkan oleh kerajaan yang jelas tidak menunjukkan kepimpinan dan hala tuju yang jelas.

Bermula dengan projek demonstrasi 5G di Langkawi pada Disember 2019, yang mana kerajaan bertekad memulakan pembangunan rangkaian 5G pada tahun 2020, sekaligus menjadikan Malaysia antara negara pertama di Asia Tenggara yang memulakan inisiatif memeluk teknologi 5G.

Namun, selepas kerajaan tumbang dan diganti dengan kerajaan Perikatan Nasional, dan selepas 12 bulan menunggu, Digital Nasional Berhad (DNB) ditubuhkan untuk menerajui pembangunan 5G melalui model Rangkaian Borong Induk (Single Wholesale Network). Dijanjikan pada ketika itu bahawa rangkaian 5G akan dilancarkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada hujung 2021. Namun sehingga hari ini, masih tidak ternampak sebarang kemajuan dalam penawaran perkhidmatan 5G kepada rakyat.

Kemudian dasar tersebut berputar lagi. Pada 29 Mac 2022, diumumkan bahawa 70 peratus saham DNB akan dijual kepada empat pengusaha rangkaian mudah alih iaitu Celcom Axiata, Digi, Maxis dan U-mobile. Mereka diberikan tempoh 3 bulan sehingga hujung Jun untuk mempertimbangkan tawaran tersebut.

Perlu diperingatkan bahawa kesemua U-turn dan perubahan dasar ini telahpun menjejaskan pelaksanaan 5G di negara kita. Harga saham ketiga-tiga Telco (Maxis, Digi dan Axiata) telahpun mengalami kerugian sebanyak RM26 bilion. Lebih parah, Malaysia mungkin akan ketinggalan dalam menguasai kepenggunaan serta applikasi hasil teknologi 5G.

Pembangunan infrastruktur 5G adalah satu perkara yang diperhatikan di peringkat antarabangsa, melibatkan daya saing nasional di serantau, dan tidak wajar dilambat-lambatkan lagi biarpun berhadapan dengan pelbagai campur tangan politik serta penglobian pihak-pihak tertentu. Saya meminta kerajaan memperjelaskan yang berikut:
1.Mengapakah Telco masih enggan menyatakan persetujuan mereka untuk membeli data daripada DNB?
2.Apakah hasil keputusan yang dijangka menjelang hujung Jun 2022?
3.Adakah pemasangan dan pelaksanaan 5G diganggu akibat perbincangan yang sering dilanjutkan?

YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN
ADUN Semambu

Related Posts
crossmenuchevron-up