Carian
June 17, 2021

Menantikan Lebih 40 Billion Pelaburan Menjadi Kenyataan

1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kedah yang dilaporkan oleh MIDA baru-baru ini menjadi negeri yang tertinggi yang bakal menerima pelaburan bagi suku pertama  tahun 2021. Lima negeri tertinggi nilai bakal pelaburan adalah Kedah sebanyak RM43 bilion diikuti oleh Selangor RM8.6 bilion, Sarawak RM6.9 bilion, Sabah RM5 Billion dan Kuala Lumpur RM4.9 Billion menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan Malaysia bernilai RM80.6 bilion.

2. Pencapaian ini merupakan sejarah kerana selama ini Kedah sentiasa tercorot berbanding negeri-negeri lain dari segi pertumbuhan ekonomi, rizabnya juga terhad, sumber pendapatan yang tidak melimpah ruah dan pada masa yang sama perlu mengekalkan status sebagai negeri jelapang padi bagi menjamin bekalan makanan negara.

3. Mengimbas kembali semasa Pakatan Harapan mula mentadbir, suatu fakta yang tidak boleh dikesampingkan adalah Kedah telah berada di tempat kedua selepas Pulau Pinang setelah mencatat jumlah pelaburan sebanyak 7.6 billion pada suku pertama tabun 2019. Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan Menteri Besar pada ketika tersebut optimis dan menjangkakan bahawa Kedah mampu mencapai jumlah pelaburan RM10 bilion pada hujung tahun 2019.  Namun akhirnya di luar jangkaan sejumlah RM14.7 bilion nilai pelaburan berjaya dicapai melebihi sasaran sekaligus telah meletakkan Kedah di dalam senarai top 5, kedudukan kelima selepas Selangor, Penang, Johor dan Kuala Lumpur.

4. Justeru, jumlah RM43 bilion yang bakal dituai oleh Kerajaan Negeri sekarang adalah umpama biji benih yang pernah disemai sebelum ini. Meskipun jumlah pelaburan ini dinilaikan sebagai 'approved investment' bukan lagi 'actual investment' namun sebagai rakyat Kedah saya mengharapkan pelaburan ini benar-benar akan direalisasikan oleh Kerajaan Negeri dan diharapkan tiada pelabur-pelabur yang akan menarik balik.

5. Situasi pandemik COVID19 di Kedah amat mencabar dan menjadi tanda aras pentingnya proses vaksinasi ditingkatkan secara agresif selari dengan pembukaan sektor sosioekonomi secara bersasar. Statistik kematian yang tinggi, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersambung-sambung dan berterusan sangat mendekam kehidupan rakyat yang hakikatnya rata-rata telah lelah .

6. Walaubagaimanapun, saya yakin pelaburan ini hanya akan mampu terlaksana dan menjadi realiti sekiranya Kerajaan benar-benar mampu menangani COVID19 dengan sebaiknya, urustadbir yang baik disamping memudahkan birokrasi dan tiada penglibatan rasuah dalam mana-mana peringkat untuk menangani wabak COVID19 ini.

7. Justeru, saya mengharapkan pengumuman nilai bakal pelaburan tertinggi ini dilihat sebagai benchmark bukan sekadar menjadi halwa ditelinga tetapi mesti dibuktikan dengan keazaman dan kesungguhan demi kepentingan rakyat Kedah secara keluruhan.

NURIN AINA
AHLI PARLIMEN MERBOK
AHLI MAJLIS PIMPINAN KEADILAN PUSAT

Related Posts
crossmenuchevron-up