Carian
August 19, 2022

MENGANGKAT SUARA PENGUNDI MUDA KALI PERTAMA : KERAJAAN JANGAN CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN

1. Rakyat Malaysia memerhati dan mengamati ucapan beberapa Menteri Persekutuan terkait Undi18 atau pengundi muda kali pertama dalam tempoh satu minggu ini.

2. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapannya ketika melancarkan Hari Belia Negara peringkat Negeri Selangor di 'daerah angkatnya' di Kuala Selangor beberapa hari lalu dengan jelas menyatakan kemampuan Undi18 untuk menyediakan pelantar politik yang lebih segar dan keupayaannya untuk mengetengahkan suara generasi muda ini. Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Noraini Ahmad pula kelmarin dalam ucapannya berkata Kementerian komited memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para mahasiswa agar cakna sistem demokrasi, pilihan raya dan politik negara.

3. Ironinya, dalam minggu ini juga negara kita dikejutkan dengan beberapa cubaan mengekang kebebasan berpolitik mahasiswa yang merupakan salah satu kumpulan pengundi muda kali pertama atau Undi18 melalui satu cadangan pengenalan Peraturan-Peraturan Universiti (Pelajar Berpolitik di Dalam dan di Luar Kampus) 2022.

4. Melalui Peraturan ini, sebarang aktiviti politik, sama ada secara partisan atau tidak partisan, tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada pihak universiti, larangan untuk menubuhkan ranting atau cawangan parti politik di dalam kampus dan ketiadaan tafsiran yang jelas terhadap beberapa istilah penting seperti 'parti politik' yang membuka ruang kepada salah guna peraturan untuk mengekang kebebasan mahasiswa berpolitik dan berkegiatan.

5. Hal ini dilihat seperti satu usaha merekayasa peraturan dan hukum semasa untuk menimbus dan menarik semula kebebasan berpolitik termasuk di dalam kampus yang diberikan kepada mahasiswa pasca pindaan kepada Seksyen 15(2)(c) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 pada tahun 2019 sekali gus mengkhianati semangat pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan pengundi berumur 18 tahun dan ke atas untuk mengundi.

6. Kita juga dikejutkan dengan pendakwaan yang dikenakan kepada Sdr. Aliff Naif, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa yang merupakan seorang anak muda dan pengundi muda kali pertama hanya kerana bersuara mengangkat isu rakyat sekali gus sekali lagi mengkhianati semangat pelaksanaan Undi18 ini.

7. Saya menggesa Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob menghentikan 'kegilaan' yang berlaku melalui beberapa siri pengkhianatan terhadap semangat pelaksanaan Undi18 ini dan memenuhi maqasid membenarkan pengundi muda mengundi dengan memberikan kebebasan untuk meneroka dan mengetengahkan pandangan sebagai salah satu proses melahirkan pengundi muda yang matang tanpa sekatan yang tidak munasabah.

8. Sesungguhnya, segala Jawatankuasa yang ditubuhkan dan program-program kesedaran mengundi dalam kalangan pengundi muda kali pertama atau Undi18 yang diusahakan kerajaan tidak akan berhasil sekiranya dalam masa yang sama kerajaan cuba mengekang kebebasan pengundi muda kali pertama ini daripada berkegiatan dalam politik, sama ada secara partisan atau tidak partisan, melalui rekayasa undang-undang dan hukum yang secara sistematik memandulkan kematangan pengundi muda kali pertama ini.

Sekian.

HAZIQ AZFAR ISHAK
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up