Carian
August 11, 2022

Menteri Harus Menjelaskan Percanggahan Unjuran MRT 1, 2 & 3

1.Pada sesi Parlimen lepas, saya telah mengemukakan soalan kepada Menteri Pengangkutan Dato’ Seri Dr. Wee Ka Siong, mengenai unjuran purata jumlah penumpang harian (average daily ridership) untuk MRT 3.

2.Menteri menyatakan bahawa MRT 3 dirancang untuk memulakan operasi dalam 2 fasa pembukaan, iaitu pada 2028 dan 2030. Apabila siap kelak, MRT 3 dianggarkan membawa sejumlah 180,300 penumpang sehari dan dijangka akan meningkat kepada 1.01 juta penumpang sehari menjelang tahun 2060. Jawapan Menteri ini amat mengelirukan.

3.Menurut laman sesawang MRT Corp, MRT 1 (Laluan Kajang) mempunyai 29 stesen, panjang 42km, manakala MRT 2 (Laluan Putrajaya) sepanjang 56km dan mempunyai 36 stesen. Unjuran purata jumlah penumpang harian untuk MRT 1 dan MRT 2 adalah 442,000 dan 529,000 masing-masing.

4.Panjang MRT 3 (Laluan Lingkaran) lebih kurang 51km dan mempunyai 33 stesen, bagaimana unjuran purata jumlah penumpang harian boleh menurun begitu mendadak kepada hanya 180,300? MRT 3 lebih panjang dan mempunyai stesen yang lebih banyak berbanding dengan MRT 1, tetapi unjuran penumpangnya baru 40% daripada unjuran penumpang MRT 1.

5.Jika dibandingkan dengan MRT 2, yang cuma 5km lebih panjang dan mempunyai lebih 3 stesen, unjuran penumpang MRT 3 tidak sampai 35% daripada unjuran penumpang MRT 2. Bagaimana Menteri dapat kiraan yang begitu jauh berbeza?

Panjang (km)       Bilangan Stesen         Unjuran Penumpang Harian
MRT 1                                   42                              29                                    442,000
MRT 2                                  56                              36                                     529,000
MRT 3                                  51                              33                                      180,300

6.Unjuran seperti yang dipamerkan dalam jadual di atas tidak memberi gambaran yang realistik. Maka, sama ada Menteri Pengangkutan memberi jawapan palsu tentang unjuran MRT 3 dalam Dewan Rakyat yang mulia, atau unjuran MRT 1 dan 2 sebelum ini adalah palsu. Kalau unjuran MRT 1 dan 2 palsu, bermakna kerajaan sebelum ini telah ditipu untuk membina projek mega tersebut.

7.Sejak MRT 1 beroperasi sepenuhnya pada tahun 2017, purata jumlah penumpang harian yang paling tinggi adalah pada tahun 2019, iaitu 204,821 penumpang sahaja. Jumlah ini bukan saja jauh tersesar daripada unjuran kerajaan, iaitu 442,000, malah belum sampai 50% daripada unjuran awal.

8.Justeru, saya menuntut penjelasan daripada Menteri Pengangkutan.
CHANG LIH KANG
Ahli Parlimen Tanjong Malim
Naib Presiden

Related Posts
crossmenuchevron-up