Carian
February 11, 2022

MUDA Pada Nama, Tua Pada Cara

1. Saya terpanggil untuk mengulas isu Parti Ikatan Demokratik Malaysia(PIDM) yang juga dikenali sebagai MUDA yang semakin hari dilihat seperti musuh dalam selimut. Saya khuatir melihatkan serangan yang sering disengajakan oleh parti tersebut terutamanya terhadap KEADILAN. Bermula dari serangan kepada ADUN Ulu Tiram, S Gopalakrishnan sehingga memuatnaik hantaran yang sengaja memprovokasi anak muda Pakatan Harapan (PH). Malah sebelum ini juga hantaran dimuatnaik bertujuan memerli presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

2. Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seringkali menyatakan inginkan pembangkang yang bersatu-padu namun hakikatnya parti yang baru ditubuhkan itu dilihat sengaja ingin memecahkan keharmonian dalam blok pakatan pembangkang sedia ada.

3. Jika benar parti baru ini ingin mengukuhkan perpaduan antara blok pembangkang, beliau sepatutnya tidak meminta kerusi sedia ada milik PH sebaliknya terus bertanding di kawasan kubu kuat pihak lawan tanpa meminta kerusi majoriti milik blok pembangkang sedia ada.

4. Sehingga hari ini, saya yakin ramai di luar sana tertanya-tanya apakah ideologi parti ini dan bagaimana pula struktur organisasi parti tersebut kerana sehingga sekarang apa yang diperjuangkan oleh MUDA tidak jelas. Tertubuhnya MUDA dikatakan ingin membawa nafas baru politik di Malaysia. Namun,hari demi hari MUDA memperlihatkan mereka tiada arah tuju yang jelas.

5. Sebagai anak muda, saya pastinya inginkan lebih ramai anak muda menyertai bidang politik. Namun, biarlah menyertai bidang politik untuk memberi khidmat kepada rakyat bukannya demi mengejar publisiti semata-mata. Saya nasihatkan Syed Saddiq supaya belajar berpolitik daripada orang yang lebih berpengalaman supaya tidak tersilap langkah dalam dunia politik.

6. Politik ini berbentuk dinamik ianya berubah mengikut situasi semasa negara, tanpa ilmu pengetahuan yang jelas dalam politik lama-kelamaan rakyat juga akan dapat melihat sisi seseorang ahli politik itu.

P Prabakaran
Ketua AMK Wilayah Persekutuan

Related Posts
crossmenuchevron-up