Carian
September 5, 2021

Peguam Negara Derhaka, Lupa Usul Undi Percaya Dititah Seri Paduka Baginda?

Majlis Presiden Pakatan Harapan amat terkejut setelah meneliti kenyataan media Peguam Negara semalam, yang berkata undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen apabila Dewan Rakyat mula bersidang pada 13 September ini.

Kenyataan Peguam Negara ini bertentangan dengan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada semua ketua parti sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos yang lalu.

Seperti yang terakam di dalam kenyataan media Istana Negara bertarikh 18 Ogos 2021, Seri Paduka Baginda telah bertitah bahawa “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Titah Seri Paduka Baginda ini turut ditekankan KDYMM Seri Paduka Baginda Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dan keperluan undi percaya ini telah dipersetujui semua ketua parti.

Penting diingatkan bahawa Peguam Negara telah hadir, menjadi saksi malah telah mendengar sendiri titah Seri Paduka Baginda sewaktu sesi menghadap ini. Di manakah logik dan kewarasan Peguam Negara apabila berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul undi percaya itu dititah sendiri oleh Seri Paduka Baginda?

Tindakan seseorang Perdana Menteri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menggantikan Perdana Menteri terdahulu seterusnya mengemukakan usul undi percaya di Parlimen bagi mengabsahkan sokongan majoriti adalah tindakan yang punyai duluan (precedent) di Parlimen Malaysia.

Undi percaya pernah berlaku pada 27 Januari 1976, 12 hari selepas Dato’ Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak, dan 3 November 2003, 3 hari selepas Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad.

Oleh yang demikian, Majlis Presiden beranggapan bahawa kenyataan Peguam Negara bagi pihak Kerajaan ini adalah amat biadab, melanggar semangat Perlembagaan Persekutuan, malah melanggar titah dan juga derhaka terhadap Seri Paduka Baginda.

Ini juga merupakan kali kedua Peguam Negara telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, yang sesungguhnya amat mengecewakan dan beliau tidak layak memegang jawatan Peguam Negara.

Pakatan Harapan mendesak Peguam Negara meletak jawatan kerana beliau bukan sahaja telah derhaka terhadap Seri Paduka Baginda, tetapi beliau juga telah mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Pakatan Harapan menjunjung titah Seri Paduka Baginda bahawasanya undi percaya perlu dikemuka dan diluluskan untuk mengabsahkan Perdana Menteri ke-9 punyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada sidang Parlimen yang bermula 13 September ini.

Perdana Menteri tidak harus mengguna pakai nasihat Peguam Negara yang salah ini sekiranya Perdana Menteri tidak mahu mengikuti jejak langkah mantan Perdana Menteri ke-8 yang mengakibatkan ketidakstabilan politik apabila keabsahan beliau senantiasa diragui dan dipertikai.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up