Carian
June 16, 2021

Pelan Pemulihan Hanya Wayang Yang Mengesahkan Kegagalan PN Mengurus Tadbir Negara

1. Pelan Pemulihan Negara yang hanya mampu dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri adalah begitu lembab setelah lebih setahun Malaysia berdepan dengan pandemik COVID-19 serta hampir setengah tahun pelaksanaan darurat dikuatkuasakan.

2. Perutusan khas ini dilihat hambar dan sekadar mengulangi pendekatan sama tetapi mengharapkan keputusan berbeza. Ianya tidak lebih dari sekadar mengulangi skrip atau SOP bagi fasa-fasa PKP, PKPP, PKPB, PKPD dan sebagainya serta culas terhadap banyak perkara yang sepatutnya lebih dititikberatkan.

3. Pendekatan sehala dalam perutusan khas ini sekali lagi menafikan penglibatan Ahli-Ahli Parlimen untuk membahaskan dasar tersebut manakala pengamal media dinafikan hak untuk bertanya soalan. Pemulihan negara daripada pandemik Covid-19 perlu sekurang-kurangnya menjawab persoalan berikut:-

i. Apakah perancangan ekonomi negara terutama bagi membina semula keyakinan pelabur serta menarik pelaburan?
ii. Apakah tindakan kerajaan apabila kluster tempat kerja terus meningkat walaupun ‘total lockdown’ ala PN sudah lebih dua (2) minggu dilaksanakan?
iii. Apakah strategi dalam mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan?
iv. Mengapa sektor pendidikan tidak disentuh terutama bagi memperkemaskan kaedah pelaksanaan PdPR serta perancangan ke hadapan untuk membuka kembali sekolah dan institusi pengajian dengan lebih teratur?
v. Apakah kerangka kerja dalam menjayakan pembentangan pelan (baca: fasa-fasa) ini di samping mencapai imuniti kelompok melalui suntikan vaksin?

4. Ini berbeza dengan pembentangan oleh Ketua Pembangkang melalui agenda “Memimpin Negara Pasca COVID-19 Dan Melonjak Semula Ekonomi Negara” sehari sebelumnya yang lebih terperinci dan menyentuh aspek yang perlu dititikberatkan. Malah, inisiatif ini merupakan lanjutan daripada Program Pasca COVID-19 yang telah dilancarkan pada 26 Mei 2021.
5. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara jelas telah menggariskan beberapa aspek penting dalam pembentangan beliau yang meletakkan sasaran praktikal dan menyeluruh yang turut melibatkan soal kesihatan, pendidikan, pekerjaan, industri, ekonomi negara bagi menarik pelaburan, ekonomi gig, politik sihat serta mengurangkan kesenjangan masyarakat.

6. Asas bagi kerangka besar usaha ini mestilah berpandukan data, sains, teknologi, serta penekanan kepada maqasid syariah sebagai prinsip pentadbiran.

7. Rakyat sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Kerajaan Perikatan Nasional yang bukan sahaja dipertikaikan keabsahan, tetapi juga kelemahan kepimpinan yang begitu ketara. Bagaimana rakyat ingin percaya Parlimen akan kembali bersidang menjelang September sedangkan pelbagai janji sebelum ini masih berdolak-dalik.

8. Perikatan Nasional perlu kembali muhasabah, hentikan segera segala kecelaruan serta kebobrokan ini. Kembalikan semula Malaysia pada landasan sepatutnya dengan langkah pertama mengembalikan demokrasi melalui pembukaan parlimen dan penamatan darurat.

9. Segala usaha yang bertentangan dengan amalan demokrasi dan mengheret negara kebelakang mestilah ditentang sepenuhnya.

Sekian.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up