Carian
March 25, 2021

Pemaju Diberikan Pampasan, Pembeli Rumah PR1MA Terbengkalai Tidak Dibela?

Saya telah bersemuka dengan pembeli-pembeli rumah PR1MA Melaka Tengah 2 yang melahirkan rasa kecewa dan kesal mengenai projek perumahan tersebut yang telah terbengkalai.

Turut bersama bagi mendengar keluhan pembeli atau mangsa-mangsa rumah terbengkalai tersebut adalah Datuk Halim Bachik, pengerusi KEADILAN Melaka, YB Rusnah Aluai, Ahli Parlimen Tangga Batu serta sdr Prasanth Kumar, Ketua AMK Melaka.

Ini merupakan kes rumah PR1MA kedua yang bermasalah yang saya bangkitkan selepas rumah PR1MA Tebrau di Johor Bahru yang turut mengalami kelewatan.

Seperti yang diketahui umum, pembeli rumah PR1MA rata-ratanya merupakan pembeli rumah pertama dan pasangan keluarga muda.

Bagi kes rumah PR1MA Melaka Tengah 2, pembeli telah dijanjikan bahawa rumah mereka akan siap pada tahun 2020 namun lawatan tapak yang dibuat menunjukkan kerja-kerja pembinaan telah dihentikan.

Berdasarkan semakan di laman sesawang PR1MA, terdapat 980 unit yang ditawarkan dan status projek adalah pada tahap 64 peratus manakala tarikh siap telah ditukar tanpa perbincangan dengan pembeli kepada awal tahun 2023.

Hasil dapatan kami, rata-rata pembeli telah memulakan bayaran berperingkat (progressive payment) kepada bank sekitar RM300 sebulan.

Selain itu, pembeli turut terpaksa menanggung kos rumah sewa di tempat lain serta perancangan kehidupan dan keluarga terganggu.

Mereka dibiarkan terkontang-kanting tanpa penjelasan yang munasabah daripada pihak Menteri mahupun PR1MA.

Sekiranya diambil secara keseluruhan, kumpulan pembeli ini kini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM200,000 sehingga RM300,000 tiap-tiap bulan bagi bayaran kepada bank, yang dijangka akan terus meningkat bertahun-tahun lamanya selagi rumah tidak siap.

Ini adalah perbezaan yang amat ketara dengan pengumuman YB Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam Parlimen pada Disember 2020, iaitu pampasan bernilai RM172 juta telah dibayar kepada pemaju membabitkan 17 daripada 32 projek PR1MA yang telah dibatalkan.

Memandangkan Parlimen tidak dibenarkan bersidang, saya memohon melalui melalui media untuk penjelasan daripada Menteri mengenai perkara berikut:-

1. Senarai projek PR1MA yang telah ditukar tarikh siap, lewat dan terbengkalai serta berapa ramai pembeli yang menjadi mangsa kepada projek-projek tersebut?

2. Mengapakah pemaju yang dibatalkan projek PR1MA boleh diberikan pampasan mencecah RM172 juta sedangkan pembeli-pembeli rumah PR1MA yang sakit dan terbengkalai tidak diberikan pembelaan sewajarnya?

3. Adakah pihak pemaju lebih diutamakan berbanding dengan pihak pembeli?

4. Apakah usaha KPKT bagi membantu pembeli-pembeli rumah PR1MA yang lewat, sakit dan terbengkalai bagi mengurangkan beban dan kerugian yang ditanggung mereka?

5. Bagi kes rumah PR1MA Melaka Tengah 2, apakah perancangan pihak KPKT bagi mengurangkan bebanan RM200,000 - RM300,000 sebulan yang ditanggung oleh para pembeli.

Sekiranya YB Menteri tidak mampu menjawab soalan tersebut secara berterus-terang melalui media, saya mendesak agar YB Menteri dapat mengarahkan YB Datuk Seri Shahidan Kassim, Pengerusi PR1MA untuk segera berhadapan dengan para pembeli.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up