Carian
July 27, 2021

Pembatalan Ordinan Darurat Wajib Mengikut Ketetapan Di Bawah Perlembagaan Persekutuan

1. Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam, semua 6 Ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat telah dibatalkan kerana kerajaan menarik balik Ordinan berkenaan pada 21 Julai lalu.

2. Walau bagaimanapun, pengumuman Menteri yang tidak berasas hanya menimbulkan kekeliruan pada ketika ini kerana pembatalan tersebut belum diwartakan sejak 21 Julai dan hanya diumumkan semalam.

3. Adalah pengetahuan umum bahawa susulan daripada pembatalan Ordinan Darurat, semua kompaun di bawah Akta 342 tidak boleh melebihi RM1,000.

4. Oleh itu, kekeliruan dari segi pelaksanaan undang-undang ini menyebabkan ketidaktentuan status semua kompaun yang dikeluarkan selepas tarikh pembatalan Ordinan. Adakah mereka sah dan berapakah amaun yang perlu dikenakan di bawah kompaun ini?

5. Pembatalan Ordinan Darurat juga menimbulkan persoalan mengenai kewajiban untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan pilihan raya kecil di beberapa kawasan Parlimen.

6. Sehubungan itu, AMK meminta penjelasan daripada kerajaan dengan kadar segera kerana kedaulatan undang-undang tidak boleh dikompromi semata-mata demi kepentingan politik kerajaan Perikatan Nasional. Rakyat yang terkesan di bawah pemasyuran atau pembatalan Ordinan Darurat berhak mengetahui dengan lebih lanjut keadaan yang sebenar.

7. AMK juga ingin menegaskan bahawa segala proses pembatalan Ordinan Darurat perlu mematuhi prosedur di bawah Perkara 150 (2C) dan (3) Perlembagaan Persekutuan. Ordinan Darurat hanya boleh dibatalkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atau apabila terdapat ketetapan diluluskan oleh Parlimen bagi mengungkaikan Ordinan tersebut.

CHIEW CHOON MAN
Pengerusi
Biro Guaman & Undang-Undang
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

GAVIN WAY
EXCO
Biro Guaman & Undang-Undang
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up