Carian
February 19, 2022

Pembentangan RUU Profesion Kerja Sosial di Parlimen Dan Pembinaan Modal Insan Pekerja Sosial Perlu Disegerakan

1. Wanita KEADILAN mendesak Kerajaan supaya mengambil serius isu penuaan dengan membentang Rang Undang – Undang(RUU) Profesion Pekerja Sosial di Parlimen dan mewujudkan pelan pembinaan modal insan kerja sosial yang lebih menyeluruh dengan kadar segera.

2. Langkah ini merupakan salah satu penyelesaian yang lebih holistik kepada isu yang dibangkitkan oleh Dr Boo Harn Shian daripada Universiti Sains Malaysia (USM) melalui laporan media The Star bertarikh 17 Februari, iaitu beban generasi ‘sandwich’ yang memikul tanggungjawab menjaga anak dan ibu bapa mereka pada masa yang sama boleh diringankan.

3. Dr Boo berasa risau terhadap impak penuaan kepada kaum wanita kerana tanggungjawab mereka di dalam rumah tangga dijangka bertambah di mana kerja rumah tanpa upah akan bertambah. Keadaan ini akan menyebabkan KDNK negara menurun disebabkan tenaga kerja menyusut kerana lebih ramai kaum wanita akan mengorbankan kerjaya mereka apabila negara ini menjadi negara tua.

4. Oleh itu, Akta Profesion Kerja Sosial adalah sangat kritikal untuk menubuhkan sistem perkhidmatan kerja sosial yang profesional, mempromosi status pekerja sosial dan yang paling penting ialah menjamin hak dan kepentingan pihak penerima perkhidmatan tersebut.

5. Malangnya, tiada tindakan diambil oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluaraga dan Masyarakat (KPWKM), Rina Harun selepas dua tahun beliau menjawatan Menteri KPWKM dan agenda penggubalan RUU tersebut tidak ada dalam pelan strategik KPWKM 2021 – 2025.

6. Rina hanya merancang pembangunan modal insan profesion pekerja sosial dalaman di KPWKM untuk tempoh 5 tahun dan tiada perancangan untuk seluruh industri perkhidmatan sosial dan kebajikan di negara ini.

7. Sebenarnya, Kerajaan harus mengkaji untuk mereformasikan institusi kebajikan dan sosial dengan memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan dan menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perbadanan yayasan atau syarikat korporat untuk melaksanakan program kebajikan dan sosial.

8. Dengan pengurangan kerja penyampaian program perkhidmatan kebajikan dan sosial di komuniti, Kerajaan boleh menumpukan lebih perhatian kepada peranan utama mereka sebagai pembuat dasar, kawal selia dan kerja audit terhadap program dan pertubuhan komuniti.

9. Dengan penstrukturan semula ini, Kerajaan mampu menwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan pekerja sosial dengan menjadikan pengambilan pekerja sosial sebagai syarat dalam pemberian geran kepada pihak berkenaan untuk melaksanakan program sosial dan kebajikan.

Loh Ker Chean
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up