Carian
June 3, 2020

Pemberian Spektrum Tanpa Proses Tender Mengejutkan

KENYATAAN MEDIA

 

3 Jun 2020

 

PEMBERIAN SPEKTRUM TANPA PROSES TENDER MENGEJUTKAN

 

Saya mengikuti laporan media semalam berkenaan arahan Menteri Komunikasi dan Multimedia bertarikh 15 Mei 2020 memberikan spektrum telekomunikasi 700 megahertz (MHz) kepada beberapa syarikat telekomunikasi yang dipercayai dibuat tanpa proses tender terbuka.

 

Arahan tersebut mengejutkan kerana ia melanggar prinsip ketelusan yang telah diperkukuh sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan yang lalu. Malah arahan ini menimbulkan pelbagai soalan tentang proses pemilihan syarikat-syarikat ini serta jumlah spektrum yang diberikan kepada setiap syarikat.

 

Pada 1 Julai 2019, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan proses siasatan awam (Public Inquiry), di mana beberapa garis panduan telah dicadangkan termasuk pemberian melalui proses tender, serta beberapa perincian teknikal seperti:

 

“3.1.2.5 An assignment of less than 2x10 MHz spectrum may not be ideal to deliver high data rate and this may affect the ability of operators to achieve the NFCP targets and ensure improvements of QoS.”

 

Tambahan pula, dalam jawapan balas Altel Communication Sdn Bhd (salah satu dari lima syarikat penerima spektrum) kepada SKMM bertarikh 30 Ogos 2019, pihak Altel sendiri telah menyatakan seeloknya satu pengendali diberikan keseluruhan spektrum 700 MHz untuk memudahkan prasarana telekomunikasi disediakan secara lebih terselaras, mengelakkan pembaziran serta lebih adil kepada semua pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.

 

Laporan SKMM bertarikh 29 September 2019 turut menunjukkan majoriti syarikat yang memberi maklum balas menyarankan proses tender dilakukan, dan hampir tiada pihak yang menyatakan blok spektrum 2x5 MHz bersesuaian.

 

Malangnya, arahan Menteri ini menyaksikan tiada proses tender dijalankan atau tidak diumum, tiada satu pengendali atau konsortium diberikan keseluruhan spektrum, dan jumlah blok spektrum 2x5 MHz yang diberi kepada Altel dan Telekom Malaysia tidak mengikuti pandangan awal SKMM pada 1 Julai 2019 mahupun laporan SKMM 29 September 2019.

 

Kita juga tidak diberi maklumat berkenaan fi yang dikenakan terhadap setiap penerima blok spektrum.

 

Oleh itu, Menteri wajib segera memberikan penjelasan terhadap perkara-perkara berikut:

 

1. Mengapa blok-blok spektrum 700 MHz ini diberikan dengan cara ini, dan bukannya melalui sebuah konsortium yang sudah pasti lebih efisyen?

 

2. Apakah kriteria kelayakan bagi setiap syarikat tersebut, termasuk kejayaan syarikat membina rangkaian mudah alih (mobile network) dan jumlah pelanggan sedia ada?

 

3. Kenapa Altel dan Telekom Malaysia diberi blok spektrum 2x5 MHz walaupun tidak ideal seperti yang dinyatakan SKMM?

 

4. Berapakah fi yang dikenakan kepada setiap syarikat?

 

5. Apakah perancangan setiap syarikat berkait penggunaan blok spektrum ini bagi jangkamasa lima tahun yang akan datang, terutama dari segi prasarana dan perkhidmatan?

 

Saya terpanggil untuk bangkitkan soalan-soalan ini kerana spektrum 700 MHz berkait rapat dengan pelaksanaan teknologi 5G serta program NFCP, yang merupakan masa depan teknologi telekomunikasi dan sudah pasti akan mendatangkan kesan kepada rakyat. Jika diulangi kesilapan-kesilapan masa lampau, termasuk prasarana yang gagal dibina atau tidak terselaras, akhirnya pengguna lah yang akan rugi.

 

Fahmi Fadzil

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Pengarah Komunikasi KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up