Carian
March 24, 2021

Penafian Azmin Tidak Membantu Negara Untuk Melangkah Ke Hadapan

Saya terkilan dengan penafian yang dibuat oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Malaysia kehilangan pelaburan asing terutamanya Syarikat Multinasional yang besar ke negara-negara lain di rantau ini.

Laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) dengan jelas menyatakan bahawa Pelaburan Asing ke Malaysia telah menjunam sebanyak 68% kepada hanya US $2.5 bilion pada tahun 2020. Ia menjadikan negara Malaysia mencatat prestasi yang terburuk di rantau Asia Tenggara.

Alasan Azmin yang menyatakan bahawa Malaysia telah menjadi lebih selektif dalam menarik pelaburan asing yang berkualiti adalah tidak munasabah. Hakikatnya adalah negara-negara Jiran kita, seperti Singapura sebagai negara pendapatan tinggi, Vietnam dan Indonesia yang merupakan negara pendapatan sederhana terus memperolehi pelaburan yang kukuh. Pada tahun 2019, ketiga-tiga negara tersebut menerima lebih daripada 80% aliran masuk pelaburan langsung asing ke Asia Tenggara. Pada tahun lalu dengan cabaran kesihatan sedunia dan ekonomi, Singapura berjaya mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak AS $ 58 bilion iaitu 23.2 kali ganda lebih banyak daripda Malaysia.

Satu tamparan lagi ke muka Azmin adalah setelah Kerajaan Perikatan Nasional mengumunkan Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia, IBM memutuskan untuk menutup Pusat Penyampaian Globalnya di Cyberjaya, Selangor pada 31 Mei. Ia mungkin menyebabkan lebih kurang 1000 orang yang akan kehilangan pekerjaan.

IBM bukannya syarikat Multinasional yang pertama untuk menghentikan pelaburan di Cyberjaya dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Pada November 2020, syarikat IT Jerman T-Systems juga telah menjualkan perniagaannya di Malaysia dan menyebabkan 800 pekerja kehilangan pekerjaan.

Kenapa ketika Azmin tengah bicarakan pelaburan berkualiti, tetapi MNC yang berkualiti memilih untuk meninggalkan Malaysia? Lebih malang lagi sehingga ke hari ini, tiada sebarang penjelasan daripada Kerajaan Perikatan Nasional mengenai sebab atau alasan syarikat MNC meninggalkan Malaysia dan juga mengumumkan cara penyelesaian untuk mengatasi masalah ini kepada orang ramai.

Penafian Azmin dan Kerajaan Perikatan Nasional tidak akan membantu Kerajaan mengakui kelemahan struktur yang sedia ada seperti yang telah diketengahkan oleh Bank dunia baru-baru ini serta mengenalpasti peluang pertumbuhan baru untuk mendorong negara ke tahap yang berikutnya. Kenyataan yang manis tidak akan membantu kerana pelabur-pelabur akan mengundi melalui kaki mereka.

YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up