Carian
July 1, 2022

Penipuan Kewangan Digital: KEADILAN Beri BNM 7 Hari Kemuka Cara Penyelesaian

Pada 12 Jun 2022, saya telah mengutuskan surat kepada Tan Sri Nor Shamsiah, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) atas kebimbangan tentang penipuan kewangan digital (financial fraudsters) melalui perkhidmatan perbankan internet dan mobile yang semakin berleluasa. Saya juga kemukakan empat cadangan (rujuk lampiran) untuk menanangi kes-kes penipuan dan menggesa bank-bank komersil supaya menyahut seruan tersebut.

Namun sehingga hari ini, tidak kelihatan sebarang tindakan segera daripada pihak BNM mahupun Kementerian Kewangan. Respon yang lembap ini adalah amat mendukacitakan.

Sidang media tadi telahpun kami dedahkan satu kes yang dianggap “ekstrem”.
Sebanyak RM170 ribu telahpun dikeluarkan tanpa penerimaan sebarang TAC/OTP oleh si mangsa. Tambahan pula, wang yang dikeluarkan tersebut bukan dalam akaun simpanan biasa, tetapi merupakan flexi account overdraft. Bayangkan jika bayaran ansuran rumah anda selama beberapa tahun tiba-tiba dibolot dan dikosongkan tanpa sebarang pengetahuan, apakah perasaan anda?

Saya yakin terdapat ratusan kes-kes sebegini yang masih tidak mendapat perhatian dan keadilan yang sewajarnya. Mengikut kenyataan Datuk Arjunaidi Mohamed, Ketua Polis Selangor, dalam separuh tahun pertama 2022, sebanyak 1,354 kes penipuan online telah direkodkan dengan kerugian sebanyak RM59.6 juta.

Kelembapan dan ketidakcekapan untuk bertindak umpama jatuh ditimpa tangga buat ribuan rakyat biasa yang dijadikan mangsa, dan KEADILAN beranggapan bahawa situasi ini tidak boleh terus dilayan dengan cara yang remeh dan runcitan seperti sekarang.

Maka dengan ini kami memberikan ultimatum kepada BNM dan Kementerian Kewangan untuk mengemukakan cadangan penyelesaian dalam tempoh 7 hari. Jika permintaan ini masih diendahkan, KEADILAN akan mengajak semua mangsa yang ditipu hadir ke BNM untuk membuat aduan supaya suara mereka betul-betul dapat didengari.

Lee Chean Chung
Bendahari Agong KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up